Meta, TikTok akui terima permintaan padam lebih banyak kandungan pada 2023

Syarikat induk Facebook, Meta dan TikTok dari China akui menerima peningkatan permintaan daripada kerajaan Malaysia untuk mengalih keluar kandungan atau menyekat akaun di platform berkenaan bagi tempoh enam bulan pertama 2023. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Fahmi Fadzil)
Syarikat induk Facebook, Meta dan TikTok dari China akui menerima peningkatan permintaan daripada kerajaan Malaysia untuk mengalih keluar kandungan atau menyekat akaun di platform berkenaan bagi tempoh enam bulan pertama 2023. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Fahmi Fadzil)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat induk Facebook, Meta dan TikTok dari China mengakui menerima peningkatan permintaan daripada kerajaan Malaysia untuk mengalih keluar kandungan atau menyekat akaun di platform berkenaan bagi tempoh enam bulan pertama 2023.

Berdasarkan laporan Meta, pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkuasa pada November 2022, berdepan tuduhan memungkiri janji untuk melindungi kebebasan bersuara menerusi kandungan dalam talian.

Bagaimanapun, kerajaan Malaysia menafikan dakwaan tersebut sebaliknya menegaskan ia mahu mengekang hantaran berunsur provokasi yang menyentuh isu perkauman, agama dan kerabat diraja.

Menerusi data yang diterbitkan Laporan Ketelusan dua kali setahun oleh firma itu, antara Januari dan Jun tahun ini, Meta mengehadkan kira-kira 3,100 halaman dan siaran di platform Facebook dan Instagramnya daripada dilihat oleh pengguna di Malaysia kerana didakwa melanggar undang-undang tempatan.

Angka itu enam kali lebih tinggi berbanding tempoh setengah tahun sebelumnya dan tertinggi sejak syarikat itu mula melaporkan sekatan kandungan di Malaysia pada 2017.

Menurut Meta, antara Julai 2022 dan Jun 2023, pihaknya mengehadkan akses kepada lebih 3,500 kandungan sebagai tindak balas kepada laporan yang dibuat oleh pengawal selia komunikasi Malaysia dan agensi kerajaan lain.

Jelasnya, kandungan yang sering dilaporkan adalah kritikan terhadap kerajaan dan siaran yang didakwa melanggar undang-undang mengenai perjudian haram, ucapan kebencian, kandungan yang memecahbelahkan kaum atau agama, buli dan penipuan kewangan.

Sementara itu, menerusi platform video pendek TikTok dalam laporan sama yang dikeluarkan bulan lalu, turut memaklumkan ia menerima 340 permintaan daripada kerajaan Malaysia untuk mengeluarkan atau menyekat kandungan antara Januari dan Jun 2023, menjejaskan 890 siaran serta akaun.

Artikel Berkaitan:

TikTok mengeluarkan atau menyekat 815 pengguna kerana melanggar undang-undang tempatan atau garis panduan komuniti TikTok iaitu yang tertinggi dalam tempoh enam bulan sejak ia mula melaporkan permintaan daripada Malaysia pada 2019.

Kandungan yang dikeluarkan TikTok itu adalah tiga kali ganda berbanding kandungan yang dikeluarkan pada separuh kedua 2022.

Dilaporkan, Malaysia membuat lebih banyak permintaan untuk menyekat kandungan di TikTok berbanding kerajaan lain di Asia Tenggara manakala Meta tidak menerbitkan jumlah permintaan kerajaan yang diterimanya untuk sekatan kandungan.

Sementara itu, kerajaan Malaysia dilaporkan enggan mengulas lanjut mengenai data berkenaan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut menafikan dakwaan beliau meminta agensi itu membuang kritikan terhadapnya di media sosial.

Menurut Fahmi, TikTok tidak bertindak sepenuhnya untuk mengekang kandungan fitnah atau mengelirukan di platform miliknya dan menuduh beliau gagal mematuhi beberapa undang-undang tempatan pada Oktober lalu.

TikTok berkata, ia akan mengambil langkah proaktif untuk menangani isu yang dibangkitkan.

Kerajaan juga menegaskan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap Meta kerana gagal bertindak terhadap kandungan yang tidak sepatutnya dan menggugurkan rancangan itu selepas mesyuarat dengan syarikat terbabit. - Reuters