Perdana Menteri kekal disandang Melayu - Anwar

Anwar bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar di Bandar Baru Bangi pada Jumaat. - Foto Bernama
Anwar bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar di Bandar Baru Bangi pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

BANGI - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat berkata, calon Perdana Menteri di negara ini akan kekal disandang kaum Melayu.

"Lepas ini calon dari kerajaan pun Melayu, calon dari pembangkang pun Melayu.

"Jadi terus maju, hak rakyat terpelihara dan jaga kepentingan semua rakyat, semua kaum, semua wilayah,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Al-Kauthar, Bandar Baru Bangi, di sini pada Jumaat.

Mengulas cadangan Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal agar Anwar meminda perlembagaan supaya hanya orang Melayu boleh menjadi perdana menteri, Anwar berkata, tiada keperluan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan itu.

"Setakat ini tidak ada keperluan, tidak ada perbincangan serius,” katanya.

Cadangan Wan Ahmad Fayhsal itu adalah susulan kandungan penulisan veteran politik DAP, Tan Sri Lim Kit Siang yang dimuat naik di blog limkitsiang.com pada 30 November lepas bertajuk Perlembagaan Malaysia menjanjikan Impian Malaysia dan bukannya impian etnik tunggal memandangkan Perlembagaan ini tidak menghalang seorang bukan Melayu daripada menjadi seorang Perdana Menteri.

Anwar dalam masa yang sama mengingatkan pembangkang agar tidak memainkan isu yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum sehingga menimbulkan perbalahan.

"Sudah tentu Perlembagaan Persekutuan ada peraturan, dan ini bukan isu, dan sekarang ini tidak pernah menjadi isu, jadi jangan kita rumitkan keadaan.

"Dan begitu juga yang diuar-uarkan oleh pembangkang soal persempadanan semula. Perkara ini tidak berbangkit pun. Dia cuma nak laga-lagakan, nak bagi orang lagi marah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pembangkang sebaik-baiknya sepatutnya membantu mencari kaedah bagi memperkasakan ekonomi negara serta meringankan beban rakyat.

"Dia nak sibuk ini pasal apa. Carilah modal lain untuk bantu bagaimana nak angkat ekonomi, nak kurangkan beban rakyat. Jangan ajak gaduh sahaja, tak letih ke,” katanya. - Bernama