Pelajar maut dilanggar: KPN jamin siasatan telus, adil

Razarudin jamin siasatan telus dan adil dilakukan berhubung kes kemalangan membabitkan seorang pegawai kanan polis dan seorang pelajar sekolah di Ipoh, Perak.
Razarudin jamin siasatan telus dan adil dilakukan berhubung kes kemalangan membabitkan seorang pegawai kanan polis dan seorang pelajar sekolah di Ipoh, Perak.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberi jaminan bahawa siasatan secara telus dan adil dilakukan berhubung kes kemalangan maut di Ipoh, Perak, membabitkan seorang pegawai kanan polis dan seorang pelajar sekolah.

Beliau berkata, arahan siasatan secara menyeluruh itu turut dikeluarkan kepada Ketua Polis Daerah Ipoh, Ketua Polis Perak dan Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Menurutnya, polis tidak akan sesekali melindungi atau berkompromi dalam isu ini walaupun ia membabitkan pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintenden yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

"Pegawai terbabit juga telah ditahan dan direman tiga hari untuk siasatan lanjut.

"Selain itu, kita (polis) juga sudah merakam percakapan tujuh orang saksi membabitkan pelajar sekolah yang melihat dan berada di tempat kejadian," katanya pada Sabtu.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, namun polis juga akan melihat kepada keperluan siasatan di bawah lain-lain seksyen bersesuaian dengan kesalahan apabila siasatan lengkap kelak.

Katanya, pihak polis memberi jaminan siasatan telus akan dilakukan membabitkan kedua-dua pihak.

"Sehubungan itu, saya turut meminta mana-mana pihak yang melihat kejadian berkenaan dan mempunyai maklumat untuk tampil kepada pihak polis bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, Ipoh, maut di lokasi kejadian.

Mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha disyaki dilanggar sebuah kereta Perodua Ativa, yang dipandu oleh pegawai kanan polis berusia 44 tahun.