Kes pelajar maut dilanggar: Pegawai kanan polis ditahan

Laporan Sinar Harian pada Jumaat
Laporan Sinar Harian pada Jumaat
A
A
A

IPOH - Polis mengesahkan telah menahan seorang pegawai kanan pasukan itu berhubung kes kematian seorang pelajar akibat dilanggar dan diseret sebuah kereta di Jalan Taman Jati dekat Meru di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pegawai berusia 44 tahun dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah itu ditahan bagi siasatan kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Asisten Komisioner Yahaya Hassan
Asisten Komisioner Yahaya Hassan

Bagaimanapun menurutnya, polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk jenayah yang menjurus kepada kesalahan mematikan orang di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Kita tidak akan melindungi sesiapa termasuk pegawai sendiri sekiranya mempunyai bukti yang kukuh.

"Polis akan mendapatkan perintah reman terhadap lelaki itu esok (Sabtu) bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Yahaya berkata, kejadian itu melibatkan kereta jenis Perodua Ativa dipandu pegawai terbabit dengan motosikal jenis Yamaha ditunggangi mangsa.

Katanya, dalam kes itu, mangsa pelajar lelaki berusia 17 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pegawai berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

"Hasil bedah siasat ke atas mangsa mendapati punca kematian adalah kecederaan di bahagian dada dan abdomen akibat kemalangan jalan raya," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Jong Pit Chiao di talian 016-8849163.

Sinar Harian melaporkan, dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari itu, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari arah belakang sebuah kereta.

Difahamkan sebelum kejadian, berlaku keadaan tidak puas hati membabitkan pemandu kereta berkenaan dengan mangsa kerana membuat bising motosikal.

Keadaan itu mengakibatkan, pemandu tersebut mengejar mangsa sejauh hampir 1 kilometer dan melanggarnya dari arah belakang mengakibatkan mangsa jatuh dan terseret hampir 5 meter.