Hormat apa saja keputusan Norza

Laporan Sukan Sinar pada 13 Disember. Gambar kecil: Dr Pekan
Laporan Sukan Sinar pada 13 Disember. Gambar kecil: Dr Pekan
A
A
A

SEMUA pihak wajar menghormati apa sahaja keputusan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sama ada mahu kekal dengan keputusannya untuk melepaskan jawatan sebagai presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau sebaliknya.

Penganalisis Sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli simpati dengan beban tugas yang digalaskan Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Presiden Kehormat Badminton Asia dan Ahli Lembaga Majlis Olimpik Asia (OCA).

Malah Mohamad Norza juga merupakan watak penting dalam Program Road To Gold (RTG) sebagai pengerusi bersama dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“Kita perlu hormat apa sahaja keputusan Tan Sri (Mohamad Norza) sama ada kekal dengan keputusan (lepaskan jawatan presiden) atau pertimbangkan hasrat menteri agar beliau kekal (sebagai presiden BAM).

“Saya juga simpati, beban tugas yang digalas oleh Tan Sri sangat berat. Beliau memegang beberapa jawatan penting dalam organisasi sukan di dalam dan luar negara.

“Andai Tan Sri kekal melepaskan jawatan (presiden BAM) mampu mengurangkan bebannya, namun tidak bermakna melepaskan terus peranannya kerana beliau masih presiden MOM dan pengerusi bersama RTG,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Pekan juga meluahkan rasa hormat kepada Mohamad Norza seorang pemimpin bertanggungjawab dan sedia melepaskan jawatannya kepada pengganti berkredibiliti menerajui BAM iaitu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Tan Sri yakin penggantinya itu mampu menjaga BAM dengan baik dan bertanggungjawab ke atas badan sukan besar tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hannah menerusi hantaran di X pada Selasa meminta Mohamad Norza memikirkan semula keputusan untuk melepaskan jawatannya selaku Presiden BAM pada hujung tahun ini.

Mohamad Norza dalam reaksinya sedia mempertimbangkan semula keputusannya itu di atas dasar hormat terhadap Hannah.

Pun begitu, segala persoalan itu akan terjawab selepas mesyuarat Ahli Majlis BAM pada Sabtu.

Mohamad Norza pada Ogos lalu mengumumkan akan melepaskan jawatannya pada hujung tahun ini selepas memikirkan sudah ada individu yang layak menggantikan tempatnya bagi memacu BAM.

Selain mahu melepaskan jawatan selaku Presiden BAM, beliau juga pernah menyuarakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada jawatan sebagai Presiden MOM selepas berakhirnya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Pada Oktober lalu, Ahli Majlis BAM sebulat suara bersetuju menamakan Tengku Zafrul sebagai pengganti Mohamad Norza.