Semua menu RM1 hingga RM3 sahaja
JEMPOL - Tidak dinafikan segala kos termasuklah harga barangan dilihat telah meningkat susulan keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini.
Berikutan itu, seorang Pengurus Pusat Komuniti Desa Serting Ilir di sini mengambil keputusan membantu usahawan bimbingannya menjana pendapatan melalui jualan berkonsepkan vendor di Pintu Gerbang Homestay Lonek dengan syarat harganya RM1 hingga RM3 sahaja.
Pengurus berkenaan Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar, 32, berkata, setakat ini terdapat 62 jenis menu makanan seperti makanan berat, masakan barat, kek dan manisan berada di gerainya sejak ia dibuka pada pertengahan bulan lalu.
"Pada awalnya, saya bercadang untuk membuka kedai berkonsepkan vendor ini di Pusat Komuniti Desa itu sendiri tetapi memandangkan tiada ruang yang bersesuaian maka saya ambil keputusan untuk menjadikan Pintu Gerbang Homestay Lonek ini sebagai lokasi.
"Konsep vendor ini saya letakkan keutamaan untuk produk yang bermula dari harga RM1 hingga RM3 sahaja. Ramai yang tanya kenapa harganya semurah itu.
"Objektif saya adalah untuk berkongsi rezeki. Saya buka perniagaan ini di kawasan kampung, rata-rata penduduk adalah dalam kalangan B40. Ada juga yang dalam kalangan miskin tegar dan asnaf," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.
Ujarnya, selain itu, kesesuaian harga berkenaan juga diambil kira berdasarkan terdapat usahawan bimbingannya yang memang berniaga produk di bawah harga RM3.
"Jadi saya kumpulkan mereka di sini. ALLAH Maha Baik, hari ini telah mencecah lebih 60 produk makanan dengan hampir 800 bungkus yang dibuat oleh rakan-rakan vendor saya dan semuanya sedap-sedap belaka.
"Dalam masa sama, saya tidak sangka akan dapat sambutan sebegini sehingga ia tular di media sosial. Ramai yang berikan maklum balas, mereka bawa duit sedikit tapi bawa pulang makanan banyak. Kenyang, murah dan berbaloi," katanya.
Sementara itu, seorang pembeli, Noorezrin Mahmod, 40, berharap harga seperti itu dapat dikekalkan sampai bila-bila.
"Pelbagai jenis makanan ada sini, ramai boleh membeli sebab harganya murah. Semua boleh merasa tidak kira peringkat umur terutamanya yang kurang berkemampuan," katanya.
Seorang lagi pembeli dari Bandar Seri Jempol, Suhaida Bain, 36 berkata, sudah lama berhajat untuk mencuba makanan yang dijual di situ.
"Saya datang hari ini dengan dua orang kawan, memang mengajak mereka untuk merasa makanan tular dekat sini sebab harganya murah RM1 hingga RM3 sahaja," katanya.