Isteri maut dipukul suami guna dumbel angkara cemburu

Seorang wanita maut dipercayai dipukul menggunakan dumbel oleh suaminya akibat cemburu dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Jalan Sungai Congkak, Shah Alam awal pagi tadi.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
Seorang wanita maut dipercayai dipukul menggunakan dumbel oleh suaminya akibat cemburu dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Jalan Sungai Congkak, Shah Alam awal pagi tadi.(Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang wanita maut dipercayai dipukul menggunakan dumbel oleh suaminya akibat cemburu dalam kejadian yang berlaku di sebuah rumah di Jalan Sungai Congkak, Shah Alam awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis menerima laporan berkaitan kejadian itu pada jam 5.33 pagi oleh suspek sendiri yang mengatakan isterinya mengalami sawan lalu membawa mangsa ke Hospital Shah Alam kerana tidak sedarkan diri.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal oleh doktor ke atas wanita berusia 33 tahun itu terdapat kecederaan di beberapa bahagian tubuhnya dan siasatan lanjut mendapati mangsa dipukul oleh suspek akibat cemburu di rumah mereka sebelum dibawa ke hospital.

Menurutnya bertindak atas maklumat tersebut, pada jam 12.49 tengah hari lelaki itu ditahan di Hospital Shah Alam dan senjata yang dipercayai digunakan untuk memukul isterinya iaitu sebuah dumbel turut dirampas.

"Pasangan tersebut baru berkahwin pada April lepas dan belum mempunyai anak.

"Si mati bekerja sebagai tenaga pengajar di sebuah kolej di Sarawak pulang bercuti untuk menghadiri perkahwinan adik iparnya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Iqbal berkata, suspek berusia 38 tahun yang bekerja sendiri mempunyai dua rekod lampau kes pukul dan dadah dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek juga positif dadah.

Menurutnya, suspek akan direman esok di Mahkamah Shah Alam dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kes itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Komisioner Mohd Afandi Ahmad di talian 016-7252948. - Bernama

Artikel Berkaitan: