Bekas Presiden ABIM dipilih sebagai Pengerusi Bersih

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Muhammad Faisal Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz dipilih sebagai Pengerusi Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) baharu bagi sesi 2023 hingga 2025.

Jawatankuasa Pemilihan Bersih dalam satu kenyataan memaklumkan, Muhammad Faisal memperoleh kelebihan satu undi berbanding pencabarnya, Gopalan K Papachan yang mendapat 22 undi.

Ujarnya, proses pengundian dijalankan secara dalam talian itu menyaksikan penerimaan 45 kertas undi daripada 61 badan bukan kerajaan (NGO) yang membentuk gabungan berkenaan.

"Kertas undi telah dibuka dan dikira sejurus penutupan pengundian pada 5.00 petang pada 15 Disember 2023 di pejabat Bersih.

"Proses tersebut disiarkan melalui aplikasi Zoom untuk disaksikan oleh endorsing (menyokong) NGO dan disaksikan oleh lima pemerhati daripada endorsing secara fizikal di pejabat.

"Berdasarkan keputusan ini, jawatankuasa pemilihan mengisytiharkan saudara Muhammad Faisal dipilih sebagai Pengerusi Bersih bagi sesi 2023 – 2025," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Sehubungan itu, jawatankuasa berkenaan turut menzahirkan ucapan tahniah kepada calon yang berjaya dan berharap pengerusi yang baharu dipilih menjalankan tanggungjawab dengan sebaiknya.

"Jawatankuasa pemilihan juga mengucapkan penghargaan kami kepada semua endorsing NGO Bersih yang menjalankan hak mereka untuk mengundi dan menjadikan pemilihan kali ini berjalan lancar.

Artikel Berkaitan:

"Akhir sekali, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Sekretariat Bersih yang membantu menjalankan proses pemilihan ini dengan level profesionalisme, komitmen dan dedikasi yang tertinggi," katanya.

Pada 19 November lalu, bekas Pengerusi Bersih, Thomas Fann meletak jawatan dengan memberikan notis dua bulan susulan mengakui tidak mampu untuk memimpin jawatankuasa berkenaan yang sudah dibahagikan.

Fann mengambil alih jawatan pengerusi Bersih daripada Maria Chin Abdullah pada Oktober 2018.