Hannah tidak berniat campur tangan urusan BAM

Hannah - Foto Bernama
Hannah - Foto Bernama
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Jumaat membuka mulut mengenai saranannya agar Tan Sri Mohammad Norza Zakaria mempertimbangkan semula hasratnya untuk melepaskan jawatan sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhir tahun ini.

Beliau berkata, Mohamad Norza memainkan peranan penting sejak Jawatankuasa Road To Gold (RTG) ditubuhkan dan ia amat bermakna buat negara membuat persiapan menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 terutama dalam sukan badminton.

“Sebagai Presiden BAM, Tan Sri (Norza) banyak memberikan input kepada Jawatankuasa RTG kerana beliau juga adalah pengerusi bersama sebagai presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

“Sebab itu, melihat kepada keadaan sekarang dengan kita hanya ada beberapa bulan lagi sebelum Olimpik Paris, saya minta beliau pertimbangkan semula keputusannya,” katanya.

Laporan Sukan Sinar pada 13 Disember.
Laporan Sukan Sinar pada 13 Disember.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Kejohanan Ragbi Sentuh Pink Blitz (PORTO) 2023 di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Hannah menerusi hantaran di X pada Selasa meminta Mohamad Norza memikirkan semula keputusan untuk melepaskan jawatannya selaku Presiden BAM pada hujung tahun ini.

Mohamad Norza dalam reaksinya sedia mempertimbangkan semula keputusannya itu di atas dasar hormat beliau terhadap Hannah.

Artikel Berkaitan:

Hannah dalam pada itu tidak berniat untuk campur tangan urusan dalaman BAM, tetapi berharap Mohamad Norza dapat membuat pertimbangan sewajarnya.

“Saya tidak mahu dilihat campur tangan dalam hal ini. Saya hanya minta beliau pertimbangkan. Semuanya tertakluk kepada jawatankuasa BAM untuk membuat keputusan, terpulang kepada mereka," katanya.

Pun begitu, segala persoalan itu akan terjawab selepas mesyuarat Ahli Majlis BAM pada Sabtu.

Mohamad Norza pada Ogos lalu mengumumkan akan melepaskan jawatannya pada hujung tahun ini selepas memikirkan sudah ada individu yang layak menggantikan tempatnya bagi memacu BAM.

Selain mahu melepaskan jawatan selaku Presiden BAM, beliau juga pernah menyuarakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada jawatan sebagai Presiden MOM selepas berakhirnya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Pada Oktober lalu, Ahli Majlis BAM sebulat suara bersetuju menamakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai pengganti Mohamad Norza.

Ketika itu, Mohamad Norza memaklumkan, tarikh sebenar pelantikan Tengku Zafrul akan dibincangkan pada mesyuarat Ahli Majlis BAM yang akan datang bulan ini.