Jualan tiket MotoGP Sepang tertinggi sejak Covid-19 - CEO SIC

Sebanyak 52,000 tiket daripada 56,000 yang ditawarkan berjaya dijual, sekali gus menunjukkan sambutan amat memberangsangkan terhadap perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) 2026. Foto: Bernama
Sebanyak 52,000 tiket daripada 56,000 yang ditawarkan berjaya dijual, sekali gus menunjukkan sambutan amat memberangsangkan terhadap perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) 2026. Foto: Bernama
A
A
A

LITAR Antarabangsa Sepang (SIC) merekodkan jualan lebih 52,000 tiket bagi Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) 2026, pencapaian tertinggi sejak pandemik Covid-19, dengan jumlah kehadiran penonton keseluruhan mencecah kira-kira 196,000 orang.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, sebanyak 52,000 tiket daripada 56,000 yang ditawarkan berjaya dijual, sekali gus menunjukkan sambutan amat memberangsangkan terhadap perlumbaan berprestij itu.

Beliau berkata, jumlah kehadiran penonton itu juga hampir mencapai sasaran 200,000 yang ditetapkan pihak penganjur.

“Kalau dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini, selepas Covid-19, ini merupakan jualan tiket tertinggi yang pernah kita capai.

“Kita hampir mencapai sasaran 200,000 penonton dan insya-Allah tahun depan kita akan cuba mencapai sasaran itu,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan MotoGP di SIC, di sini semalam.

Mengulas mengenai penjualan pas Perdana Suite secara tidak sah di pasaran gelap, Azhan berkata, dua suspek telah ditahan dan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, pas berkenaan dipercayai dihasilkan secara dalaman, tetapi dijual di pasaran gelap tanpa kod bar.

“Setakat ini, dua suspek telah ditahan. Mereka masih direman dan siasatan masih dijalankan, jadi saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara itu. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam sistem kita dan kita akan memperketatkan lagi kawalan pada masa akan datang,” jelasnya.

Azhan berkata, SIC berjaya mengesan kegiatan itu hasil maklumat dalaman, sebelum bekerjasama dengan pasukan keselamatan dan PDRM untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kejadian itu menjadi pengajaran kepada pihak SIC, untuk menambah baik sistem pengurusan dan kawalan pas bagi mengelakkan insiden sama berulang.

Pada Sabtu, terdapat isu itu tular di media sosial susulan dakwaan bahawa pas Perdana Suite palsu bagi perlumbaan MotoGP Malaysia, dijual pada harga RM250 di pintu masuk litar apabila beberapa hantaran di media sosial mendedahkan penipuan itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!