Norza pertimbang semula keputusan letak jawatan Presiden BAM

Mohamad Norza Zakaria
Mohamad Norza Zakaria
A
A
A

TAN Sri Mohamad Norza Zakaria sedia mempertimbangkan semula keputusannya untuk melepaskan jawatan selaku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Menurut Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), pertimbangan itu dibuat atas dasar hormat beliau terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“Saya rasa YB (Yang Berhormat Hannah) mahu saya pegang (terajui BAM) sampai (Sukan Olimpik) Paris 2024. Tempoh jawatan saya (sebagai Presiden BAM) sebenarnya sehingga 2025.

“Saya akan pertimbangkan cadangan itu kerana saya hormat beliau (Hannah) sebagai menteri. Kita (BAM) mempunyai kerjasama baik dengan beliau.

“BAM akan mengadakan mesyuarat Ahli Majlis pada Sabtu ini. Saya akan komen lebih lanjut pada masa itu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Terdahulu, Hannah meminta Mohamad Norza memikirkan semula keputusan untuk melepaskan jawatannya selaku Presiden BAM pada hujung tahun ini.

Malah, Hannah berkata, program Road to Gold (RTG) direka bagi mengelak jika berlaku perubahan kepimpinan dalam dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ataupun MOM dengan mempunyai dua pengerusi bersama.

“Dengan itu, saya berharap pengerusi bersama, Tan Sri Norza akan mempertimbangkan semula keputusannya untuk berundur sebagai Presiden BAM pada akhir tahun ini.

Artikel Berkaitan:

“Sukan Olimpik Paris hanya beberapa bulan sahaja lagi dan badminton mempunyai wakil paling ramai dalam RTG. Kita perlu fokus dan mengurangkan gangguan ketika masa persiapan penting ini,” kata Hannah dalam aplikasi X.

Pada Ogos lalu, Mohamad Norza mengumumkan akan melepaskan jawatannya pada hujung tahun ini selepas memikirkan sudah ada individu yang layak menggantikan tempatnya bagi memacu BAM.

Selain mahu melepaskan jawatan selaku Presiden BAM, beliau juga pernah menyuarakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada jawatan sebagai Presiden MOM selepas berakhirnya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Pada Oktober lalu, Ahli Majlis BAM sebulat suara bersetuju menamakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai pengganti Mohamad Norza.

Ketika itu, Mohamad Norza memaklumkan, tarikh sebenar pelantikan Tengku Zafrul akan dibincangkan pada mesyuarat Ahli Majlis BAM yang akan datang bulan ini.