Hannah harap Norza kekal terajui BAM

Hannah (kanan) berharap Norza kekal menerajui BAM. Foto Agensi
Hannah (kanan) berharap Norza kekal menerajui BAM. Foto Agensi
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berharap Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria menimbang semula keputusan melepaskan jawatan dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhir bulan ini.

Hannah berkata, ia selaras dengan penubuhan program Road to Gold (RTG) yang dibentuk bagi mengelakkan berlaku perubahan kepimpinan dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau MOM apabila ia mempunyai dua pengerusi bersama.

Malah beliau juga berharap persiapan menuju Sukan Olimpik Paris 2024 yang berbaki beberapa bulan berjalan dengan lancar tanpa gangguan.

“Saya berharap pengerusi bersama, Tan Sri Norza akan pertimbangkan semula keputusannya untuk berundur sebagai presiden BAM pada akhir tahun ini.

“Sukan Olimpik Paris beberapa bulan sahaja lagi dan badminton mempunyai wakil paling ramai dalam RTG. Kita perlu fokus dan mengurangkan gangguan ketika masa persiapan penting ini,” katanya menerusi catatan di laman X pada Selasa.

Norza pada Ogos membuat keputusan mengejut apabila mengumumkan untuk melepaskan jawatannya sebagai presiden BAM lebih awal iaitu pada akhir tahun ini berbanding hasrat sebelum ini selepas Sukan Olimpik Paris 2024.

Beliau memutuskan demikian bagi memberi fokus terhadap tugas sebagai Presiden Kehormat Badminton Asia dan Ahli Lembaga Majlis Olimpik Asia (OCA).

Malah beliau turut meluahkan hasrat untuk melepaskan jawatan sebagai presiden MOM selepas Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Artikel Berkaitan: