Arsenal tamatkan badi 14 tahun di Anfield

Jaringan tunggal Kai Havertz pada minit ke-16 memastikan kemenangan berharga buat skuad kendalian Mikel Arteta itu, sekali gus membolehkan The Gunners merampas takhta pendahulu liga daripada Manchester City. Foto Agensi
Jaringan tunggal Kai Havertz pada minit ke-16 memastikan kemenangan berharga buat skuad kendalian Mikel Arteta itu, sekali gus membolehkan The Gunners merampas takhta pendahulu liga daripada Manchester City. Foto Agensi
A
A
A

ARSENAL menamatkan penantian 14 tahun untuk meraih kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield selepas menundukkan Liverpool 1-0 dalam aksi liga, awal pagi Isnin.

Jaringan Kai Havertz pada minit ke-16 memastikan kemenangan berharga buat skuad kendalian Mikel Arteta itu, sekali gus membolehkan The Gunners merampas takhta pendahulu liga daripada Manchester City dengan mengumpul 24 mata selepas sembilan perlawanan.

Kali terakhir Arsenal mencatat kemenangan liga di Anfield adalah pada September 2012, ketika Arteta masih bergelar pemain kelab London itu.

Kali ini, Havertz muncul wira apabila menyudahkan hantaran rendah Declan Rice selepas Arsenal memanfaatkan kesilapan penjaga gol Liverpool, Alisson Becker ketika cuba membina serangan dari kawasan sendiri.

Martin Odegaard terlebih dahulu merampas bola sebelum gerakan pantas diteruskan ke bahagian kanan menerusi Noni Madueke dan Rice, yang melakukan hantaran tepat untuk disudahkan Havertz di depan gawang.

Liverpool yang dibimbing Andoni Iraola cuba bangkit mencari gol penyamaan, namun beberapa peluang terbaik gagal dimanfaatkan.

Florian Wirtz hampir menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma yang terkena palang, manakala Alexis Mac Allister mensia-siakan peluang menerusi tandukan yang melewati palang gol.

Tuan rumah turut berasakan mereka sepatutnya diberikan sepakan penalti selepas Jurrien Timber menarik jersi Alexander Isak ketika penyerang itu cuba menyambut hantaran lintang.

Bagaimanapun, pengadil dan video bantan pengadil (VAR) tidak memberikan sebarang hukuman.

Artikel Berkaitan:

Memasuki babak kedua, Liverpool terus meningkatkan tekanan, tetapi benteng Arsenal kekal tersusun dan berdisiplin untuk mengekalkan kelebihan.

Malah, The Reds gagal menghasilkan percubaan tepat ke sasaran sepanjang perlawanan, sekali gus menggambarkan keberkesanan pendekatan pertahanan pasukan pelawat.

Kemenangan itu menyaksikan Arsenal mengumpul 24 mata, tiga mata di depan Manchester City yang tewas 0-1 kepada Brighton & Hove Albion pada Sabtu.

Liverpool pula kekal di tangga kelima dengan 15 mata, sembilan mata di belakang pendahulu. 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!