Hannah minta Norza timbang keputusan letak jawatan Presiden BAM

Hannah (kiri), Mohamad Norza
Hannah (kiri), Mohamad Norza
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh secara terbuka meminta Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mempertimbangkan semula keputusan untuk melepaskan jawatannya, pada hujung tahun ini.

Menurut Hannah, Sukan Olimpik Paris 2024 hanya tinggal beberapa bulan lagi dan sukan badminton membentuk blok majoriti atlet dalam program Road To Gold (RTG).

"Kita perlu fokus dan mengurangkan gangguan semasa tempoh persediaan yang penting ini," katanya menerusi hantaran di laman X miliknya pada Selasa.

Beliau berkata, RTG ditubuhkan untuk bertahan dengan perubahan kepimpinan dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ataupun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dengan mempunyai dua pengerusi bersama.

"RTG telah ditubuhkan untuk berdepan perubahan secara tiba-tiba pemimpin di KBS atau MOM dengan mempunyai dua pengerusi bersama. Walaupun begitu, saya berharap pengerusi bersama saya Tan Sri Norza, akan mempertimbangkan semula keputusannya untuk meletakkan jawatan sebagai Presiden BAM menjelang berakhirnya tahun ini,” katanya.

Pada Julai lepas, Norza yang juga Presiden MOM mengumumkan untuk meninggalkan BAM selepas Sukan Olimpik Paris 2024, namun membuat kejutan pada Ogos apabila mengumumkan untuk berundur pada hujung tahun ini.

Spekulasi mengenai pengisian jawatan tertinggi BAM akhirnya terjawab pada Oktober lepas selepas ahli majlis badan itu sebulat suara bersetuju menamakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai presiden baharu mereka. - Bernama

Artikel Berkaitan: