[VIDEO] Mangsa banjir gelombang kedua Kelantan meningkat

A
A
A

KUALA KRAI - Mangsa banjir gelombang kedua di Kelantan meningkat kepada 1,237 individu daripada 350 keluarga pada Jumaat berbanding 821 melibatkan 212 keluarga sehari sebelumnya.

Kawasan terlibat ialah di daerah Kuala Krai dan Tanah Merah serta terbaharu Pasir Mas.

Berdasarkan Tinjauan Sinar Harian mendapati mangsa banjir ditempatkan di 18 pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu sembilan di Kuala Krai, lapan Tanah Merah dan satu di Pasir Mas.

Salah satu daripada empat jalan kampung yang ditenggelami air pada Jumaat. Gambar kecil: Abdul Ghani, Sawiah, Kamarulzaman
Salah satu daripada empat jalan kampung yang ditenggelami air pada Jumaat. Gambar kecil: Abdul Ghani, Sawiah, Kamarulzaman

Seorang pemandu lori, Abdul Ghani Hamat, 61, berkata, dia berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Embak bersama isteri, dua anak dan seorang cucu apabila rumah mereka ditenggelami banjir setinggi 0.6 meter (m) di Sungai Durian, Kuala Krai.

Menurutnya, keadaan air pada Khamis naik dengan cepat kerana hujan lebat.

“Tahun lepas saya pindah PPS, balik dan cuci rumah kemudian hujan lebat, rumah tenggelam semula.

Artikel Berkaitan:

Penduduk mula berpindah ke PPS SK Sungai Embak susulan kediaman mereka ditenggelami banjir pada Jumaat.
Penduduk mula berpindah ke PPS SK Sungai Embak susulan kediaman mereka ditenggelami banjir pada Jumaat.

“Harap tahun ini sekali sahaja datang ke PPS,” katanya ketika ditemui SK Sungai Embak pada Jumaat.

Seorang lagi penduduk yang juga suri rumah, Sawiah Deraman, 54, mengakui keadaan banjir yang dihadapi setiap tahun amat meletihkan apabila perlu menyimpan barangan di tempat lebih tinggi bagi mengelak kerugian.

Katanya, dia membina rak setinggi hampir semeter bagi menggelakkan barangan ditenggelami air dan rosak.

“Kami orang kampung ini, kalau tak simpang barang, nanti nak beli semula dah tak ada duit.

“Jadi kami menyimpan barang dan lambat sikit ke PPS dalam keadaan air sudah tinggi,” katanya.

Keadaan rumah penduduk yang dinaiki air di Kuala Krai susulan hujan lebat.
Keadaan rumah penduduk yang dinaiki air di Kuala Krai susulan hujan lebat.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, paras dua sungai di daerah itu menunjukkan trend menurun.

Beliau berkata, Sungai Lebir di Manek Urai mencatat paras normal pada 23.15 meter manakala Sungai Galas di Dabong juga normal dengan bacaan 30.98 meter selain empat jalan kampung yang ditenggelami air.

“Jalan itu ialah di simpang tiga Kampung Kebun Pisang, Kampung Mia, Jalan Kampung Pak Jelok dan Jalan Kampung Sedek.

“Sebanyak lapan jambatan ditenggelami air iaitu Jambatan Pak Do Me, Jambatan Beri Mok Long, Jambatan Kampung Belangga Pahi, Jambatan Kuala Pertang, Jambatan Sungai Tasan, Jambatan Kampung Pasir Jering / Kebun Pisang, Jambatan Block Pasir Putih dan Jambatan Cengal,” ujarnya.