Mangsa banjir di Kelantan, Perak meningkat malam ini

Anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas membantu memindahkan penduduk Kampung Serongga ke PPS Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang berikutan kediaman mereka dilanda banjir. - Foto Bernama
Anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas membantu memindahkan penduduk Kampung Serongga ke PPS Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang berikutan kediaman mereka dilanda banjir. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir di Kelantan dan Perak terus meningkat malam ini manakala situasi di Terengganu dan Selangor dilaporkan semakin pulih.

Di KELANTAN jumlah mangsa banjir meningkat kepada 4,840 orang daripada 1,528 keluarga setakat jam 8 malam ini berbanding 4,114 orang daripada 1,282 keluarga direkodkan pagi tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hanya jajahan Pasir Mas dan Tanah Merah masih terjejas banjir dan kesemua mangsa sedang berlindung di 15 pusat pemindahan sementara (PPS) di lokasi terbabit.

Di Pasir Mas mangsa ditempatkan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, SK Sri Rantau Panjang (2), SK Gual To’Deh, SK Kok Pauh, SK Gual Sitok, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periok, SMK Baroh Pial, SK Kedai Tanjong, SK Gual Periok, Madrasah Tasek Bakong, Masjid Mukim Padang Licin, SK Sri Kiambang, SMK (A) Lati dan SK Lati.

Anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas membantu memindahkan penduduk Kampung Serongga ke PPS Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang berikutan kediaman mereka dilanda banjir. - Foto Bernama
Anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas membantu memindahkan penduduk Kampung Serongga ke PPS Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang berikutan kediaman mereka dilanda banjir. - Foto Bernama

Sementara di Tanah Merah, mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Ugama (A) Kajang.

Di PERAK, mangsa banjir meningkat sedikit malam ini kepada 87 orang daripada 26 keluarga berbanding 80 mangsa daripada 25 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak di Teluk Intan pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak memaklumkan penduduk terjejas dari kawasan Batu 9, Lorong Kedah, Lorong Belakang Klinik, Lorong Sidang Osman, Batu 7, Batu 8, Lorong Imam Khairi serta Lorong Mesra.

Artikel Berkaitan:

Penduduk menggunakan sampan melihat keadaan di sekitar kediamannya di Kampung Serongga yang dilanda banjir. - Foto Bernama
Penduduk menggunakan sampan melihat keadaan di sekitar kediamannya di Kampung Serongga yang dilanda banjir. - Foto Bernama

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak memaklumkan paras air di Sungai Bidor di Changkat Jong berada pada paras bahaya iaitu 3.57 meter.

Di TERENGGANU, banjir gelombang kedua semakin pulih dengan menyaksikan jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS turun mendadak kepada 824 mangsa daripada 184 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 2,693 mangsa daripada 654 keluarga pagi tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT), kesemua mangsa ditempatkan di sepuluh PPS di tiga daerah iaitu Setiu, Dungun dan Marang manakala daerah Kemaman, Hulu Terengganu dan Besut, banjir sudah pulih sepenuhnya.

Di Dungun pula, sebanyak 595 mangsa daripada 151 keluarga masih berlindung di enam PPS manakala di Marang, sebanyak 179 mangsa daripada 22 keluarga berada di tiga PPS dan di Setiu hanya 50 mangsa daripada 11 keluarga berlindung di PPS Surau Kampung Nyatoh.

Menurut https://publicinfobanjir.water.gov.my, air sungai di semua stesen utama negeri itu berada pada paras normal kecuali Sungai Tersat di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu yang berada pada paras waspada.

Di SELANGOR, menurut Info Bencana JKM, mangsa banjir di negeri itu mencatatkan penurunan daripada 69 mangsa membabitkan 23 keluarga pagi tadi kepada 39 mangsa daripada 11 keluarga setakat jam 9 malam.

Dua PPS masih beroperasi masing-masing di Sekolah Rendah Agama (SRA) Padang Jawa di Klang menempatkan 20 mangsa manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang di Kuala Selangor (19 orang). - Bernama