Universiti maritim bakal dibina di Kuantan

Abd Radzak (kanan) dan Razali bertukar dokumen MoU yang ditandatangani dalam satu majlis Kuala Lumpur pada Khamis.
Abd Radzak (kanan) dan Razali bertukar dokumen MoU yang ditandatangani dalam satu majlis Kuala Lumpur pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Teroka Majubina Sdn Bhd dan Netherland Maritime University College menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi penubuhan sebuah universiti maritim di Kuantan.

Penubuhan universiti maritim itu bertujuan melahirkan graduan dan tenaga pekerja terlatih bagi memenuhi keperluan tenaga kerja di Hybrid Shipyard, Tanjung Agas, Pekan yang dijangka mula beroperasi Jun 2025.

Pengerusi Academik Teroka Majubina, Profesor Datuk Dr Mohd Razali Agus berkata, kemudahan Hybrid Shipyard Tanjung Agas memerlukan ramai tenaga kerja pelbagai kategori bagi menyokong pembangunan dan operasinya.

Menurutnya, Seramai 25,000 tenaga kerja diperlukan dalam tempoh 10 tahun akan datang, justeru bagi memenuhi keperluan itu, Program ​Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan dilancarkan pada Mac tahun hadapan.

"Universiti Maritim yang akan ditubuhkan itu bakal menjadi pangkalan terbesar menghasilkan graduan bertenaga mahir dalam industri maritim perkapalan.

"Pelbagai kemahiran diperlukan untuk menyokong projek ini dan kami yakin melalui kerjasama dengan Netherland Maritime University College akan membantu Teroka Majubina mencapai matlamat yang disasarkan,” katanya.

Majlis menandatangani MoU antara Teroka Majubina dan Netherland Maritime University College berlangsung pada Khamis.

Teroka Majubina diwakili Naib Pengerusinya, Datuk Dr Abd Radzak Abd Malek manakala Netherland Maritime University College melalui Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Kapten Razali Yaacob.

Artikel Berkaitan:

Mohd Razali berkata, Teroka Majubina dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang telah menandatangani MoU di Kuala Lumpur pada Oktober lalu untuk membangunkan sebuah Kompleks Limbungan Kapal Hibrid di Tanjung Agas.

"Di bawah MoU itu, Komplek Limbungan Teroka MajuBina di jadual mula beroperasi pada 2025.

"Ia merangkumi kawasan seluas 400 hektar menempatkan enam dok kering sepanjang 500 meter dikelilingi 12 dermaga.

"Antara fungsi utama kompleks ini adalah pembinaan dan penyelenggaraan kapal, kitar semula dan kejuruteraan marin luar pesisir serta penyahtauliahan," jelasnya.

Tambahnya, nilai keseluruhan projek itu kira-kira AS$1.5 bilion atau RM7 bilion melalui pelaburan dari luar dan dalam negeri yang akan menjadi asas kepada projek tersebut.

"Kemudahan Hybrid Shipyard Tanjung Agas akan menjadi limbungan pertama di dunia yang bakal menggunakan 100 peratus tenaga hijau atau sumber yang boleh diperbaharui.

"Ia juga akan menjadi fasiliti terbesar kitar semula hijau di Asia Tenggara di mana sebuah stesen janakuasa biomass 200 megawatt menggunakan tandan kosong kelapa sawit akan dibina di dalam kompleks limbungan hibrid ini," ujarnya.

Beliau berkata, projek itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan pesat beberapa daerah di Pahang terutamanya Pekan dan Kuantan.

"Industri-industri sampingan akan wujud daripada projek ini sekali gus menjadi 'game changer' kepada industri maritim di negara ini.