Shafie Apdal dakwa GRS gabungan parti politik gagal

Mohd Shafie menunjukkan buku Perlembagaan Negeri Sabah sebagai rujukan beliau menyatakan bahawa GRS sebuah gabungan parti politik yang gagal ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan di Dewan Hakka Likas, Kota Kinabalu.
Mohd Shafie menunjukkan buku Perlembagaan Negeri Sabah sebagai rujukan beliau menyatakan bahawa GRS sebuah gabungan parti politik yang gagal ketika berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan di Dewan Hakka Likas, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebuah gabungan parti politik yang gagal di negeri ini.

Mohd Shafie dalam ucapan dasarnya membangkitkan semula isu pelantikan Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah telah melanggar Perlembagaan Sabah menerusi Perkara 6 (3) sebelum dimansuhkan pada tahun ini.

"Saya ingin menyentuh sedikit tentang GRS Sabah Maju Jaya, ini merupakan satu gabungan parti yang gagal. Ini merupakan satu parti kalau kita imbau sejarahnya telah melanggar Perlembagaan Negeri Sabah, mana mungkin Hajiji boleh menjadi Ketua Menteri.

"GRS tidak pernah bertanding dalam pilihan raya, begitu juga partinya Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat)," katanya pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan yang diadakan di Dewan Hakka Likas di sini pada Khamis.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu turut memetik perkara dalam Perlembagaan Negeri Sabah berhubung kuasa Yang di-Pertua Negeri untuk melantik Ketua Menteri.

Mohd Shafie ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan di Dewan Hakka Likas, Kota Kinabalu.
Mohd Shafie ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan di Dewan Hakka Likas, Kota Kinabalu.

"Artikel 6(3) Yang di-Pertua Negeri hendaklah melantik Ketua Menteri seorang ADUN yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti itu Artikel 6(3)a Perlembagaan Sabah.

"Berikutan daripada Artikel 6(3) bagi maksud Fasal 3 perkara ini di mana satu parti politik telah menang majoriti kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Artikel Berkaitan:

"Maknanya parti yang bertanding, tafsiran perlembagaan yang bertanding ialah parti yang telah menang dalam pilihan raya. Keduanya, parti Hajiji bukan ketua parti, dia gabungan saja. GRS bukan berdaftar sebagai parti, dia (gabungan) melompat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

"Mereka bimbang maka dengan itu pada persidangan DUN lalu telah membatalkan Perkara 6(3) untuk menghalalkan kerajaan. Gagal, ini bukan kerajaan yang sah," tegasnya.

Tambah Mohd Shafie lagi, kerajaan yang dipimpin Hajiji juga didakwa gagal untuk memberikan pembangunan kepada Sabah.

"Kerajaan ini gagal dalam urusan contohnya pembangunan Sabah, belanjawan baru-baru ini antara belanjawan terbesar RM5 bilion tetapi yang banyak ini projek saja, rakyat miskin tidak ada.

"Saya masih ingat semasa kerajaan Warisan memerintah kita 20 bulan lebih saja dan kita sediakan peruntukan hampir RM650 juta untuk bagi bakul makanan seluruh rakyat Sabah bukan hanya di Sabah tetapi termasuk di Semenanjung.

"Di Johor, di Selangor kita cari mereka di mana rakyat Sabah kerana mereka tiada duit, tidak boleh bergerak kita sediakan bakul makanan.

"Yang ini, apa yang mereka sediakan dalam keadaan harga telur ayam di Tawau, barang lain pun meningkat hasil tinjauan di pasar-pasar," katanya.