[VIDEO] Sumbat 78 kambing seludup dalam guni

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Cubaan menyeludup 78 ekor kambing menggunakan sebuah lori gagal setelah pemandu dan kelindan lori berkenaan ditahan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu.

Taktik licik dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu terbongkar setelah mereka ditahan pasukan risikan JPV bersama lori yang membawa haiwan itu kira-kira jam 7.30 malam di Kampung Penarik, Setiu pada Rabu.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, anggota penguat kuasa mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan ketika pemantauan dilakukan di sempadan Kelantan-Terengganu.

Azman (kanan) melihat kambing yang cuba diseludup masuk yang dirampas dalam operasi dijalankan kira-kira jam 7.30 malam di Kampung Penarik, Setiu pada Rabu.
Azman (kanan) melihat kambing yang cuba diseludup masuk yang dirampas dalam operasi dijalankan kira-kira jam 7.30 malam di Kampung Penarik, Setiu pada Rabu.

"Anggota penguat kuasa telah mengekori lori yang datang dari arah Tok Bali menuju ke Kuala Besut itu selama satu jam sebelum berjaya menahan dan membawa kepada penemuan kambing yang tidak mempunyai sebarang dokumen dan permit pemindahan.

"Haiwan itu disyaki diseludup dari negara jiran di mana bahagian badan setiap seekor kambing dimasukkan ke dalam guni dan dibawa menggunakan sebuah lori yang ditutup.

"Kita tidak menolak kemungkinan kambing seludup itu dibawa masuk untuk dijual pada harga lebih rendah bagi pasaran luar Terengganu," katanya pada sidang akhbar di sini, malam Rabu.

Hadir sama, Pengarah JPV Terengganu, Dr Anun Man.

Artikel Berkaitan:

Menurut Azman, kesemua hasil rampasan dianggarkan bernilai RM100,000 itu dibawa ke JPV Terengganu untuk disiasat bawah Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953 Perintah Menteri Besar (T.R.P.U.1) Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku dan Mulut dan Hawar Berdarah (Negeri Terengganu) 2023.

Katanya, jika sabit kesalahan mereka yang terlibat boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bawah Subseksyen 36 (7) Akta Binatang 1953.

Sebahagian daripada 78 ekor kambing yang dirampas dalam operasi dijalankan di Kampung Penarik, Setiu pada Rabu.
Sebahagian daripada 78 ekor kambing yang dirampas dalam operasi dijalankan di Kampung Penarik, Setiu pada Rabu.

Dalam pada itu katanya, orang ramai dinasihat agar berhati-hati membeli kambing yang ditawarkan dengan harga murah di pasaran kerana dikhuatiri memberi risiko terhadap kesihatan.

"Ada kes yang telah disahkan melalui pemeriksaan oleh pihak JPV apabila kambing seludup disembelih, terdapat kerosakan organ dalaman.

"Sebab itu kambing ini bila dipelihara ia tidak gemuk kerana ia datang dalam keadaan tak sihat.

"Ada juga kambing yang disembelih mempunyai penyakit yang dibawa oleh haiwan atau penyakit bawaan ternakan di mana sebahagian dijangkiti penyakit zoonosis atau penyakit yang boleh berjangkit daripada haiwan kepada manusia.

"Ini yang kita bimbang," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebanyak 12 kes melibatkan aktiviti penyeludupan kambing berjaya dibongkarkan sepanjang tahun ini.

Katanya, jumlah rampasan dalam operasi yang dijalankan melibatkan lebih 500 ekor kambing dengan nilai lebih RM1 juta.