Kes baharu Covid-19 meningkat, namun terkawal - KP Kesihatan

Sebanyak 12,757 kes Covid-19 dilaporkan sepanjang Minggu Epidemiologi ke-49 (ME 49/2023) iaitu bagi tempoh 3 hingga 9 Disember, berbanding 6,796 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya. - Gambar hiasan
Sebanyak 12,757 kes Covid-19 dilaporkan sepanjang Minggu Epidemiologi ke-49 (ME 49/2023) iaitu bagi tempoh 3 hingga 9 Disember, berbanding 6,796 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 12,757 kes Covid-19 dilaporkan sepanjang Minggu Epidemiologi ke-49 (ME 49/2023) iaitu bagi tempoh 3 hingga 9 Disember, berbanding 6,796 kes yang direkodkan pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, secara keseluruhan keadaan semasa di Malaysia masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada walaupun terdapat peningkatan kes baharu.

Beliau berkata, majoriti kes Covid-19 di Malaysia hanya mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

"Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 (termasuk pesakit disyaki Covid-19) ke fasiliti kesihatan bagi penggunaan katil bukan kritikal dan penggunaan katil di Unit Rawatan rapi (ICU) masing-masing meningkat kepada 1.4 peratus pada ME49/2023 berbanding ME 48/2023.

"Peratusan pesakit Covid-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) juga meningkat kepada 0.5 peratus dan secara keseluruhan peratus kes kematian Covid-19 dari 25 Jan 2020 hingga 9 Dis 2023 adalah 0.72 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dr Muhammad Radzi berkata, trend peningkatan kes Covid-19 juga dilaporkan berlaku secara global termasuk di beberapa negara jiran dan di Malaysia, peningkatan itu seiring dengan trend yang berlaku pada setiap hujung tahun seperti dilaporkan di negara lain.

Beliau berkata, dalam tempoh ME 49/2023, sebanyak 26 varian Omicron baharu dilaporkan terdiri daripada 21 kes varian membimbangkan (VOC) dan lima kes varian mempunyai kepentingan (VOI).

"Sehingga kini, tiada varian baharu dikesan di Malaysia. Varian yang masih menular di Malaysia adalah varian Omicron dengan subvarian XBB.1.16, XBB.1.5 dan EG.5.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun varian ini diketahui mempunyai kadar kebolehjangkitan yang tinggi, ia tidak menyebabkan kes yang teruk,” katanya.

Pada masa sama, Dr Muhammad Radzi menasihati orang ramai supaya terus mengamalkan langkah pencegahan penularan wabak itu termasuk memastikan tahap kebersihan diri yang tinggi, memakai pelitup muka bagi individu bergejala dan mendapatkan dos primer vaksin serta dos penggalak vaksin Covid-19. - Bernama