Air mata Liza Hanim

Liza tidak dapat menahan sebak.
Liza tidak dapat menahan sebak.
A
A
A

PENYANYI Liza Hanim tidak dapat menyembunyikan air mata tatkala disua kenyataan, bakatnya kini mula menjadi perhatian ramai meskipun secara realitinya sudah hampir tiga dekad berkecimpung dalam dunia seni.

Tidak menafikan realiti yang berlaku, pemilik nama sebenar Haliza Hanim Abdul Halim mengakui pernah terfikir untuk mengucapkan selamat tinggal terhadap bidang nyanyian.

Namun sokongan padu sekumpulan peminat tegar, rakan dan keluarga mendorong figura berusia 44 tahun itu meneruskan langkah.

"Soalan itu (daripada media) sangat menyentuh hati saya. Memang ada momen dalam karier saya, rasa seperti saya perlu berhenti menyanyi.

Liza Hanim (kiri) ketika berduet dengan Aina Abdul semasa final program All Star Gegar Vaganza.
Liza Hanim (kiri) ketika berduet dengan Aina Abdul semasa final program All Star Gegar Vaganza.



"Malah beberapa minggu lepas ketika melalui saat sukar di ASGV (program All Star Gegar Vaganza) perasaan itu datang kembali, tetapi sokongan dan kepercayaan segelintir kumpulan kecil yang mahukan saya terus menyanyi membuatkan saya bangkit untuk melawan 'rasa' itu," katanya sambil menyeka air mata yang berat bergenang di kelopak mata.

Tambah ibu kepada lima orang cahaya mata itu, disebabkan sering dibuai perasaan sama, dia pernah berasa tidak layak untuk mengadakan konsert besar biarpun rakan seangkatannya sudah melakukan lebih daripada satu konsert.

Artikel Berkaitan:

"Semangat luar biasa yang diberikan oleh penyokong dan penggemar saya akan dibawa ke konsert pertama saya Februari depan.

"Saya akan kongsikan jatuh bangun sepanjang 27 tahun berada dalam industri seni pada konsert saya nanti," ujarnya.

Dalam pada itu, Liza meluahkan rasa teruja dan terharu apabila mendapat tahu menjadi pilihan serta jangkaan netizen untuk memenangi ASGV.

Terus melangkah... Liza akui kini semakin kental berdepan perit jerih dunia seni.
Terus melangkah... Liza akui kini semakin kental berdepan perit jerih dunia seni.

Biarpun tidak dapat bergelar juara sebenar, menjadi 'juara' di hati peminat juga memberi kepuasaan buatnya.

"Walaupun orang harapkan saya menang, tapi yang saya mahukan persembahan saya meninggalkan kesan kepada yang menonton. Itu buatkan saya sangat gembira.

"Kalau kita memandang satu angka, kita akan kecewa, terlalu banyak terfikir atau terlebih melakukan sesuatu.

"Bagi saya, bila orang sudah memperkatakan persembahan saya, pujian itu juga sudah cukup buat saya," jelasnya.

Liza bakal berkongsi perjalanan 27 tahun dalam dunia seni pada konsert sulungnya Februari depan.
Liza bakal berkongsi perjalanan 27 tahun dalam dunia seni pada konsert sulungnya Februari depan.

Mengakui menimba banyak ilmu sepanjang menyertai ASGV, Liza berkata, pengalaman sepanjang berada dalam program realiti itu juga membuatkan dia menjadi manusia yang lebih kuat.

"Zaman sekarang, orang pantas menilai kita. Jadi saya kena jadi seseorang yang berkulit tebal, degil dan kental.

"Walaupun menangis, tetapi hati tetap kental untuk terus jalan kerana saya percaya pada akhirnya, saya akan tetap buat yang terbaik walaupun betapa sukar cabaran itu," tuturnya.