Peristiwa curi beri keinsafan

Zainah (kanan) bersama Barudin (tengah) berkunjung ke rumah Nurul bagi memberi sokongan dan penyampaian sumbangan Perkep hari ini.
Zainah (kanan) bersama Barudin (tengah) berkunjung ke rumah Nurul bagi memberi sokongan dan penyampaian sumbangan Perkep hari ini.
A
A
A

PARIT - Peristiwa ditahan polis kerana mencuri barang di sebuah pasar raya di Seri Iskandar, September lalu memberi kesan mendalam kepada seorang ibu tiga anak.

Wanita dikenali sebagai Nurul, 31, mengakui masih malu dan trauma mengenangkan perbuatannya itu walaupun demi memenuhi permintaan anak sulungnya yang mahu makan daging masak merah.

"Pengalaman ditahan polis menginsafkan saya dan anak pula, sejak kejadian itu mereka lebih faham.

"Mereka berjanji akan makan apa sahaja yang ada dan perkara itu benar-benar membuatkan saya sedih," katanya ketika ditemui pada program Ziarah Kasih bersama Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di Bandar Universiti Seri Iskandar di sini hari ini.

Nurul menerima lawatan daripada Pengerusi Perkep Perak, Datin Zainah Othman dan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso.

Nurul berkata, sejak kejadian itu juga dia tidak lagi menoleh ke belakang dengan meneruskan kelangsungan hidup mengambil tempahan kuih secara kecil-kecilan.

"Sehingga kini masih ada lagi yang bercerita dan masakan daging masak merah mengingatkan lagi saya pada peristiwa itu.

"Aktivis sosial banyak membantu kami. Keprihatinan polis dan Perkep juga sangat dihargai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zainah berkata, program itu bertujuan meringankan beban keluarga Nurul melalui sumbangan barang keperluan, kelengkapan sekolah, kerusi roda dan wang kepada lima keluarga terpilih termasuk pesara polis.

"Sumbangan ini adalah usaha semua Perkep bagi membantu mereka yang memerlukan selain mengeratkan jalinan kasih antara ahli.

"Selain itu, kita mahu memberi sokongan kepada wanita yang terlibat dalam kejadian curi sehingga mendapat perhatian seluruh negara," katanya.

Sinar Harian melaporkan wanita itu ditahan kerana mencuri beberapa barangan antaranya sabun mandi, ayam mentah, daging, kiub tulang ayam dan serbuk lada hitam yang dianggarkan bernilai RM80.

ARTIKEL BERKAITAN: