Pengarah syarikat, isteri didakwa terima deposit tanpa lesen

Tertuduh, Suchart (depan) dan Mohammad Nahur (belakang, dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani pada Rabu. Tertuduh, Kamontip Chu (tengah) dibawa untuk proses pendakwaan di Mahkamah Sesyen Sungai Petani.
Tertuduh, Suchart (depan) dan Mohammad Nahur (belakang, dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani pada Rabu. Tertuduh, Kamontip Chu (tengah) dibawa untuk proses pendakwaan di Mahkamah Sesyen Sungai Petani.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang pengarah sebuah syarikat pelaburan, isteri dan bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani atas pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah bernilai RM49,386 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Suchart Ee@Quah, 57, bersama isteri sebagai kerani kewangan, Kamontip Chu@Chim, 49, dan Mohammad Nahur Azad Ibrahim, 41, didakwa di Mahkamah Sesyen 1 dengan tiga pertuduhan menerima deposit daripada seorang individu sejak Mac 2020.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri dan Mohammad Nahur Azad yang kini telah meletak jawatan dari syarikat itu, bersama-sama pada 9 Mac, 15 Jun dan 30 September 2020 didapati menerima wang deposit sebanyak RM11,385, RM6,000 dan RM15,000 daripada Teng Li Fong, 38, tanpa suatu lesen yang sah bawah Seksyen 10 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta758).

Perbuatan itu dilakukan di sebuah lokasi di Jalan Perdana Height 1/10 Perdana Height Sungai Petani.

Oleh demikian, tertuduh telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 137(1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan boleh dihukum bawah Seksyen 137(2) Akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50 juta atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Ummi Kalthum Zakaria.

Hakim Roslan Hamid bagaimanapun membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin selain syarat tambahan melapor diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) terdekat setiap bulan dan paspot diserahkan sehingga tamat perbicaraan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, kesemua tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen 2 di sini atas kesalahan menerima wang deposit sebanyak RM17,000 tanpa lesen sah pada 10 November 2020 dari individu sama.

Hakim Azman Abu Hassan menetapkan agar jaminan dibenarkan sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin tempatan selain syarat tambahan sama dikenakan.

Mahkamah menetapkan 16 Januari depan sebagai tarikh sebutan bagi serahan dokumen.