ZPP bentang 16 kertas permohonan fatwa

Mohamad (tiga dari kanan) merasmikan Seminar Isu Kefatwaan Zakat 2023 (SIFZA 3.0) dan meluncurkan Buku Isu Zakat Kontemporari di Bertam, Kepala Batas.
Mohamad (tiga dari kanan) merasmikan Seminar Isu Kefatwaan Zakat 2023 (SIFZA 3.0) dan meluncurkan Buku Isu Zakat Kontemporari di Bertam, Kepala Batas.
A
A
A

KEPALA BATAS - Sebanyak 16 kertas permohonan fatwa dibentangkan Zakat Pulau Pinang (ZPP) kepada Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang dalam menyelesaikan persoalan-persoalan kontemporari zakat yang timbul pada tahun ini.

Selain menyelesaikan persoalan, ia juga bagi mengemukakan inisiatif- inisiatif baharu dalam operasi kutipan serta agihan zakat agar lebih efektif dan efisien.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, ZPP sentiasa berdepan dengan isu kefatwaan zakat yang timbul baik dari segi modus operandi zakat sendiri serta persoalan zakat semasa yang timbul dalam kalangan masyarakat di Pulau Pinang.

"Zakat adalah satu ibadah yang wajib dilaksanakan oleh seorang Islam setelah memenuhi syarat-syarat tertentu. Di Pulau Pinang, pelaksanaan zakat adalah berpandukan kepada enakmen negeri sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Penetapan hukum berkaitan zakat juga antaranya telah diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri, bahkan terdapat keputusan fatwa yang telah diwartakan sehingga menjadi undang- undang.

"Justeru dapat dipastikan bahawa fatwa-fatwa mengenai isu zakat telah menjadi suatu kelaziman di Pulau Pinang. Selain itu, kajian-kajian terhadap fatwa-fatwa yang diputuskan juga telah dilakukan dan ini jelas menunjukkan bahawa kesinambungan praktis, fatwa serta penyelidikan sentiasa berlaku di ZPP," katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Isu Kefatwaan Zakat 2023 (SIFZA 3.0) dan meluncurkan Buku Isu Zakat Kontemporari di sini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir.

Artikel Berkaitan:

Amran (tiga dari kiri) menyerahkan Buku Isu Zakat Kontemporari di sebuah hotel di Bertam ketika merasmikan Seminar Isu Kefatwaan Zakat 2023 (SIFZA 3.0) dan meluncurkan Buku Isu Zakat Kontemporari.
Amran (tiga dari kiri) menyerahkan Buku Isu Zakat Kontemporari di sebuah hotel di Bertam ketika merasmikan Seminar Isu Kefatwaan Zakat 2023 (SIFZA 3.0) dan meluncurkan Buku Isu Zakat Kontemporari.

Mohamad berharap, al-Hady Centre yang merupakan Pusat Kajian Pemikiran dan Ketamadunan Islam Pulau Pinang memainkan peranan dalam melonjakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) pengurusan institusi kewangan sosial Islam khususnya zakat sesuai dengan fungsi utamanya memfokuskan kepada R&D ummah di Pulau Pinang.

Sementara itu, Mohamad berkata, penerbitan Buku Isu Zakat Kontemporari adalah perlu bagi memberikan hebahan dan informasi mengenai isu ibadat zakat agar masyarakat dapat mengamalkannya dengan sempurna menurut tuntutan syarak.

"Melalui inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan ini saya lihat ia menjadi landasan yang tepat ke arah pembangunan masyarakat yang berintelektual, beradab dan berdaya saing melalui nilai-nilai Islam seiring dengan harapan Malaysia Madani," katanya.

Beliau menambah, penganjuran SIFZA 3.0 diharap dapat memberi input terbaik dalam proses merealisasikan hasrat dan agenda Kerajaan Pulau Pinang melalui agensinya ZPP dan al-Hady Centre dalam meningkatkan transformasi pembangunan ekonomi dan sosial ummah di Pulau Pinang.