Jambatan Pulau Pinang, beberapa laluan ditutup sempena maraton

Jambatan Pulau Pinang antara laluan terlibat penutupan bagi memberi laluan sempena penganjuran acara larian Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang (PBIM) 2023. - Foto Bernama
Jambatan Pulau Pinang antara laluan terlibat penutupan bagi memberi laluan sempena penganjuran acara larian Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang (PBIM) 2023. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Beberapa jalan utama di negeri ini akan ditutup dan dilencongkan secara berperingkat pada Sabtu ini bagi memberi laluan sempena penganjuran acara larian Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang (PBIM) 2023.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, penutupan dan lencongan jalan-jalan terlibat akan bermula jam 11 malam sehingga 10 pagi pada Ahad.

Menurutnya, acara larian yang melibatkan jarak sepanjang 42 kilometer itu akan melalui jalan-jalan di kawasan Persiaran Bayan Indah, Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dan juga sepanjang laluan di Jambatan Pulau Pinang.

"Bagi Daerah Timur Laut antara jalan yang akan ditutup ialah sepanjang Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dari Persimpangan Jalan Sungai Pinang ke Persiaran Bayan Indah.

"Bagi Daerah Barat Daya, semua jalan yang ditutup tertumpu ke kawasan Queensbay dan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (menghala ke George Town) dan semua kenderaan yang menghala ke George Town, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan Batu Maung akan dilencongkan ke Jalan Sultan Azlan Shah serta Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah," katanya menerusi kenyataan di sini pada Khamis.

Laluan yang akan digunakan untuk acara larian PBIM 2023 yang bermula jam 11 malam pada Sabtu.
Laluan yang akan digunakan untuk acara larian PBIM 2023 yang bermula jam 11 malam pada Sabtu.

Kok Chin berkata, antara kawasan lain yang terlibat adalah kawasan perumahan N-Park menghala ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, kawasan Kondominium The Light, Perindustrian Bayan Lepas dan Bulatan Bayan Baru.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bagi kenderaan yang ingin keluar masuk dari Seberang Perai ke kawasan pulau akan dilencongkan ke Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

"Pengguna jalan raya yang bercadang melalui jalan-jalan yang terlibat dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif yang disediakan.

"Patuhi arahan yang dikeluarkan oleh polis selain peka dengan papan tanda dan patuh arahan petugas lalu lintas sepanjang penutupan jalan dilakukan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Kok Chin turut menasihatkan mereka yang mempunyai jadual penerbangan di LTAPP supaya keluar awal sebelum penutupan jalan dibuat atau menggunakan laluan alternatif yang disediakan.

Penutupan Jambatan Pulau Pinang

Sementara itu, Plus Malaysia Berhad (Plus) berkata Jambatan Pulau Pinang akan ditutup sementara pada 17 Disember (Ahad) sempena acara tersebut.

Menurut Plus Malaysia Berhad (Plus), laluan berkenaan akan ditutup bermula jam 12.01 pagi sehingga 10 pagi pada hari tersebut.

“Jambatan Pulau Pinang akan dibuka dan beroperasi seperti biasa mulai jam 10:00 pagi pada hari yang sama selepas acara larian tersebut tamat,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sehubungan itu, Plus mengingatkan orang ramai supaya menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang) sebagai jalan alternatif dan mematuhi semua papan tanda serta arahan yang diberikan.

Kata kenyataan itu lagi, pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Aplikasi X @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, Chatbot PUTRI atau papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih.

Dalam pada itu, Plus turut memaklumkan, pengguna juga boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.

“Plus mengucapkan terima kasih atas perhatian dan kerjasama semua pengguna lebuh raya,” ujarnya.