Tekad Sultan Johor perangi rasuah cetus semangat rakyat

Nurhayati Nordin
Nurhayati Nordin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Hasrat Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang ingin memerangi rasuah sejurus ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-17 menunjukkan inisiatif membanteras jenayah itu sedang bergerak ke arah pemulihan progresif.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin berkata, dengan sokongan daripada pihak istana, ia menggalakkan kepada usaha menghentikan isu ketirisan bagi memastikan kestabilan ekonomi dan sosial terus terpelihara.

Menurutnya, jika aktiviti rasuah dapat dihapuskan rakyat mempunyai peluang menikmati keharmonian dan keadilan yang sewajarnya.

“Melalui dukungan rakyat bersama raja, #RasuahBusters menjangkakan pembersihan wabak rasuah dan pemulihan maruah negara akan dilaksanakan lebih pantas.

“Reformasi institusi dan perundangan yang dicadangkan oleh Kumpulan Rentas Parti Politik Malaysia Integriti, Governans dan Anti Rasuah (KRPPM- IGAR) juga diharapkan dapat direalisasikan dalam tempoh yang munasabah serta efektif.

“Justeru, peranan bidang kuasa Yang Di-Pertuan Agong, badan eksekutif, perundangan dan kehakiman perlu sejajar dengan sistem demokrasi selain tertakluk kepada peruntukan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sultan Ibrahim pada Isnin lalu bertitah mahu memberikan tumpuan menghentikan amalan rasuah sebaik sahaja ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-17 mampu menjadikan ia sebagai satu ‘Iltizam Negara'.

Setiausaha Majlis Ekonomi Halal (MEH), Dr Helmi Ibrahim berkata, kesanggupan Sultan Ibrahim mengambil tanggungjawab besar secara peribadi memerangi rasuah merupakan rahmat buat rakyat yang kian berputus asa dan kecewa atas kegagalan sesetengah pihak menangani jenayah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Nurhayati berkata, hasrat tersebut disambut baik bagi menyokong usaha #RasuahBusters yang ingin menghentikan budaya itu di seluruh landasan ekosistem.

Ujarnya, ia juga sejajar dengan hasrat Kerajaan Perpaduan tidak akan berkompromi dengan isu rasuah, namun ia memerlukan mekanisme semak dan imbang serta tindakan berkesan.

“Gabungan bersama 540 rakan gabungan seluruh negara, #RasuahBusters merupakan gerakan rakyat yang menjalankan pelbagai aktiviti memupuk kesedaran terhadap penekanan nilai, integriti dan governans untuk memastikan rasuah dapat diperangi secara sistematik di pelbagai peringkat,” katanya.