Belanjawan Perlis 2024 peruntuk lebih RM293 juta

Mohd Shukri (depan tengah) menunjukkan buku Belanjawan 2024 Perlis pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. - Foto: Bernama
Mohd Shukri (depan tengah) menunjukkan buku Belanjawan 2024 Perlis pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KANGAR - Belanjawan Perlis 2024 yang bertemakan "Melestari Ekonomi Negeri Demi Kesejahteraan Rakyat” memperuntukkan sejumlah RM293.92 juta bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli ketika membentangkan belanjawan itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM184.64 juta atau 62.82 peratus disediakan di bawah perbelanjaan mengurus manakala RM109.27 juta atau 37.18 peratus merupakan perbelanjaan pembangunan.

"Secara keseluruhan, perbelanjaan mengurus 2024 meningkat sebanyak RM4.23 juta atau 2.34 peratus berbanding 2023. Daripada jumlah yang diperuntukkan, sebanyak RM63.62 juta disediakan untuk bayaran emolumen dan RM79.93 juta bagi menampung perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan.

"Sebanyak RM36.47 juta disediakan di bawah pemberian dan kenaan bayaran tetap dan sebanyak RM4.62 juta untuk tujuan aset serta lain-lain perbelanjaan,” katanya.

Mohd Shukri berkata bagi peruntukan pembangunan berjumlah RM109.27 juta yang disediakan itu, sebanyak 56.84 peratus daripadanya dibiayai menerusi pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan bagi tujuan projek peningkatan prasarana untuk kemudahan rakyat.

"Peruntukan pembangunan bagi 2024 akan diagih kepada enam agensi pelaksana yang utama iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sebanyak RM72.81 juta, Jabatan Kerja Raya (RM19.05 juta), Jabatan Pengairan dan Saliran (RM8.67 juta), Jabatan Perhutanan (RM4.09 juta), Jabatan Pertanian (RM3.71 juta) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (RM0.94 juta),” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, bagi memastikan pelaksanaan Belanjawan 2024 itu, kerajaan negeri akan memberikan penekanan kepada tiga fokus iaitu peningkatan sosioekonomi rakyat, pengukuhan ekonomi yang mapan dan pemerkasaan sistem penyampaian perkhidmatan.

Beliau berkata, kerajaan Perlis memperuntukkan sejumlah RM7.84 juta bagi pemberian bantuan kebajikan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam inisiatif pertama untuk kebajikan golongan rentan menerusi fokus peningkatan sosioekonomi rakyat itu, yang akan memanfaatkan lebih 2,600 penerima bantuan.

Artikel Berkaitan:

Penerima katanya, terdiri daripada keluarga atau individu tidak berkemampuan, ibu tunggal, pesakit, Orang Kurang Upaya (OKU), tanggungan banduan, individu terbiar/diabaikan, warga emas, kanak-kanak dan pesakit kronik atau orang kurang upaya terlantar.

Selain itu, menerusi inisiatif pertama di bawah fokus peningkatan sosioekonomi rakyat juga, Mohd Shukri berkata, kadar bantuan sedia ada di bawah JKM akan dinaikkan antaranya kadar Bantuan Am akan dinaikkan sehingga 100 peratus menjadikan jumlah kadar bantuan yang akan diterima antara RM200 hingga RM400 sebulan.

"Bagi maksud berkenaan (kenaikan kadar bantuan), kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM6.65 juta setahun iaitu pertambahan sebanyak RM50,000 berbanding peruntukan tahun sebelumnya,” katanya.

Mohd Shukri berkata, dalam inisiatif pertama untuk peningkatan hasil negeri di bawah fokus pengukuhan ekonomi yang mapan pula, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan diskaun sebanyak 75 peratus terhadap kadar denda pelanggaran syarat tanah sepanjang 2024 sebagai galakan kepada pemilik tanah individu untuk mengemukakan permohonan ubah syarat tanah.

"Kadar diskaun ini juga turut dipanjangkan kepada pemilik-pemilik tanah yang sedang membuat bayaran ansuran kelulusan permohonan ubah syarat tanah atas baki tunggakan.

"Menjadi harapan kerajaan negeri, dengan kelonggaran diberikan ini, pemilik-pemilik tanah akan mengambil (diskaun) untuk mengemukakan permohonan ubah syarat dengan kadar yang segera,” katanya. - Bernama