Rakyat perlu 'move on' demi kesejahteraan, kestabilan negara

Lilah
Lilah
A
A
A

SEREMBAN - Rakyat khususnya di Negeri Sembilan perlu segera 'move on' berikutan mandat sudah pun diberikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas demi kesejahteraan serta kestabilan politik negara.

Bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Lilah Yasin berkata, kerajaan hari ini saling sama membantu selagi kesepakatan daripada Barisan Nasional (BN)-Pakatan Harapan (PH) memegang janjinya sebelum kerajaan ini ditubuhkan lapan bulan lalu.

"Kita kena bagi faham betul-betul kepada rakyat yang lepas itu sudahlah, kita pantau elok-elok selagi masing-masing tidak menyinggung perkara-perkara teras perjuangan kita (BN-UMNO).

"Yang sudah (berlaku) tidak boleh kita ungkit lagi, kita kena 'move on', melangkah ke hadapan," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Isnin.

Dalam pada beliau turut menegaskan bahawa BN-UMNO masih relevan dalam suasana negara sekarang sungguhpun pemimpinnya bertukar ganti namun perlembagaan dan perjuangannya tetap sama.

Katanya, bagaimanapun pemimpinnya mesti merancang sesuatu bersesuaian dengan cabaran-cabaran terkini.

"Seperti di Negeri Sembilan nampaknya sudah mulai ada kesepakatan dan penerimaan terhadap Kerajaan Perpaduan walaupun berlaku sedikit kemerosotan undi bagi BN pada PRN lalu.

"BN masih lagi boleh bertahan dengan 14 daripada 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi berbanding dengan sahabat kita di negeri lain.

Artikel Berkaitan:

"Jadi maknanya rakan kongsi (PH) kita itu ikhlas menolong kita, jika sebaliknya kita tidak boleh bertahan sampai 14 kerusi. Begitu juga dengan UMNO kena ikhlas, orang Melayu mesti faham dalam konsep sederhana ini, kita bukan ultra Melayu tetapi kita sederhana," katanya.

Katanya, kefahaman mengenai Kerajaan Perpaduan itu seharusnya 'didalamkan' lagi seperti mana dalamannya kefahaman gabungan parti dalam BN iaitu UMNO, MCA dan MIC selepas negara memperoleh kemerdekaan bagi pembentukan kerajaan yang harmoni.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menasihatkan agar semua pihak menumpukan perhatian kepada khidmat untuk negara dan masyarakat, susulan pilihan raya di enam negeri (PRN) telah tamat.

Tegas beliau, wakil rakyat yang menang di kerusi DUN masing-masing perlu melupakan politik seketika dan teruskan bekerja selepas selesai proses PRN tersebut.