Yayasan Selangor sumbang RM40 juta bantuan pendidikan, biasiswa

Zaini (dua dari kiri) bersama-sama Masdiana (empat dari kiri) bergambar beramai-ramai bersama tetamu undangan dan pelajar pada Program Jelajah Tekad Pendidikan #Kita Selangor bersama pelajar SPM dan STPM, di sini pada Selasa.
Zaini (dua dari kiri) bersama-sama Masdiana (empat dari kiri) bergambar beramai-ramai bersama tetamu undangan dan pelajar pada Program Jelajah Tekad Pendidikan #Kita Selangor bersama pelajar SPM dan STPM, di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Yayasan Selangor telah menyumbang RM40 juta bantuan pendidikan dan biasiswa kepada 8,000 penerima bagi melanjutkan pengajian ke universiti.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor, Zaini Sulaiman berkata, sumbangan diterima daripada kerajaan negeri Selangor itu disalurkan sepanjang 2018 hingga tahun ini.

Menurut beliau, Yayasan Selangor selaku agensi pelaksana Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor memikul tanggungjawab besar dalam mendukung agenda pendidikan di negeri ini.

"Ini menunjukkan komitmen kerajaan negeri Selangor dan Yayasan Selangor dalam meningkatkan taraf dan menyokong perkembangan pendidikan rakyat di negeri ini," katanya ketika berucap pada Program Jelajah Tekad Pendidikan #Kita Selangor bersama pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), di sini pada Selasa.

Seramai 1,000 pelajar di 17 sekolah menengah di seluruh daerah Kuala Selangor mengikuti program berkenaan.

Sebahagian pelajar mengikuti zikir munajat dan bacaan mathurat pada program berkenaan.
Sebahagian pelajar mengikuti zikir munajat dan bacaan mathurat pada program berkenaan.

Zaini berkata, pelaksanaan program itu diharap memberi impak positif dan nilai tambah dalam meningkatkan semangat dalam kalangan pelajar untuk terus berusaha demi menempuh peperiksaan yang bakal dilalui nanti.

Jelas beliau, proses menimba ilmu di sekolah atau di mana-mana pusat pendidikan tidak hanya fokus di atas landasan akademik semata-mata, sebaliknya setiap pelajar beragama Islam perlu dilengkapi dengan kerohanian tinggi agar ia bergerak seiring.

Artikel Berkaitan:

"Tentunya, saya berharap usaha ini tidak menemui noktah sebaliknya kekal konsisten agar pelajar sentiasa dapat menikmati lebih banyak program bermanfaat di bawah kerajaan negeri," jelas beliau.

Sebahagian pelajar lelaki mengikuti program berkenaan.
Sebahagian pelajar lelaki mengikuti program berkenaan.

Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), Datin Seri Masdiana Muhamad berkata, jelajah itu diadakan kali kedua selepas program sama diadakan di daerah Gombak pada minggu lalu.

Beliau memberitahu, sambutan terhadap program itu amat memberangsangkan dan ia dilihat sangat signifikan dalam usaha membangunkan modal insan di negeri ini.

Tambah beliau, program itu juga seiring dengan pelaksanaan beberapa siri program 'Tekad Pendidikan' yang diadakan sebelum ini.

"Menerusi pendekatan ini, pelajar SPM dan STPM dapat menetapkan matlamat dalam diri mereka untuk yakin menempa kejayaan dalam bidang diceburi," ujar beliau.

Beliau yang juga isteri kepada Menteri Besar Selangor memberitahu, program itu juga dapat meningkatkan semangat calon SPM dan STPM bagi menghadapi peperiksaan.

Kata beliau, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mahu program ini menjelajah ke seluruh daerah pada tahun depan.

Sebahagian guru, tetamu dan pelajar yang hadir pada program berkenaan.
Sebahagian guru, tetamu dan pelajar yang hadir pada program berkenaan.

"Saya harap hasrat ini dapat disempurnakan dengan penyertaan lebih ramai lagi membabitkan gandingan semua pihak termasuk ibu bapa.

"Inisiatif ini seiring pelaksanaan beberapa program pendidikan lain dalam usaha memacu perubahan pendidikan negeri dari peringkat awal hingga tertinggi," katanya.