Ranking bantu pemasaran universiti peringkat antarabangsa

Razli (tengah) selepas merasmikan Hari Antarabangsa UMK 2023 di Kampus Kota, Pengkalan Chepa pada Isnin.
Razli (tengah) selepas merasmikan Hari Antarabangsa UMK 2023 di Kampus Kota, Pengkalan Chepa pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melihat sistem ranking atau penarafan kedudukan masih penting untuk meningkatkan pemasaran sesebuah institusi pengajian tinggi di peringkat antarabangsa.

Naib Canselor UMK, Datuk Profesor Dr Razli Che Razak berkata, terdapat negara atau universiti luar negara yang menitikberatkan perkara itu untuk menghantar pelajar mereka menyambung pengajian.

Bagaimanapun katanya, tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada ranking kerana bukanlah ukuran sebenar kecemerlangan sesebuah universiti.

Razli
Razli

“Kami tidak bergantung kepada ranking semata-mata tetapi apabila saya membuat pemasaran di luar negara, soalan pertama yang ditanya ialah UMK berada di ranking ke berapa.

“Contohnya ketika lawatan saya ke Jepun dua minggu lalu, maknanya mereka ingin berkolaborasi dan bersahabat dengan universiti yang sudah masuk dalam ranking dunia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Antarabangsa UMK 2023 di Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini, pada Isnin.

Turut hadir, Presiden Universiti Songkhla Rajabhat, Profesor Madya Dr Tasana Sirichote.

Artikel Berkaitan:

Persembahan tarian dari pelajar universiti Thailand di UMK.
Persembahan tarian dari pelajar universiti Thailand di UMK.

Menurut Razli, kemasukan lebih ramai pelajar antarabangsa ke universiti tempatan itu akan membantu menjana ekonomi bukan sahaja kepada universiti, malah negara.

Katanya, UMK turut menyasarkan untuk menarik lebih 1,000 pelajar antarabangsa bagi menyambung pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di universiti itu tahun hadapan.

“Ketika ini, UMK memiliki 374 penuntut PhD dari 19 negara antaranya Pakistan, Nigeria dan Jepun manakala secara agresifnya dari Indonesia akan datang 100 lagi pelajar yang akan menyambung pengajian mereka di UMK.

Razli (kiri) diiringi Profesor Madya Dr Tasana (dua dari kiri) melawat gerai pameran penuntut UMK dari Thailand.
Razli (kiri) diiringi Profesor Madya Dr Tasana (dua dari kiri) melawat gerai pameran penuntut UMK dari Thailand.

“Ini matlamat dan cita-cita kami untuk lebih memperkenalkan UMK di mata dunia selain mewujudkan persaingan pelajar negara kita dengan luar negara,” kata beliau.

Sebelum itu, UMK melakar sejarah apabila tersenarai dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Sustainability Ranking 2024 pada kedudukan 821-840 dari seluruh universiti di dunia, 228 di peringkat Asia dan 17 dari universiti di Malaysia.

Penarafan kali pertama itu diumumkan melalui laman sesawang QS pada 5 Disember lalu.