PKINK capai keuntungan terkumpul RM91 juta

Mohd Nassuruddin (tengah) yang hadir ke Majlis Sanjungan Budi Sentuhan Abadi PKINK pada Ahad. - Foto Sinar Harian
Mohd Nassuruddin (tengah) yang hadir ke Majlis Sanjungan Budi Sentuhan Abadi PKINK pada Ahad. - Foto Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - Kumpulan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) mencapai keuntungan terkumpul sebelum cukai berjumlah RM91 juta yang diunjurkan bagi tahun ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, impak perkembangan dan kejayaan itu dicapai hasil Perancangan Pelan Strategik PKINK 2019-2023 yang dirancang secara teliti serta teratur.

Menurutnya, bermula tahun 2019, keuntungan sebelum cukai bagi Kumpulan PKINK adalah RM31 juta iaitu melebihi RM6 juta daripada sasaran awal RM25 juta yang ditetapkan.

“Bagi tahun 2020 peningkatan keuntungan sebelum cukai adalah RM43 juta manakala bagi tahun 2021 dan 2022 berjumlah RM77 juta bersamaan peningkatan sebanyak 79 peratus dari tahun 2019.

“Pada tahun akhir pelan strategik ini, keuntungan terkumpul sebelum cukai yang diunjurkan ialah RM91 juta,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Sanjungan Budi Sentuhan Abadi Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) di sini, pada Ahad.

Graf prestasi keuntungan sebelum cukai oleh Kumpulan PKINK bermula tahun 2018 hingga 2023. - Foto Sinar Harian
Graf prestasi keuntungan sebelum cukai oleh Kumpulan PKINK bermula tahun 2018 hingga 2023. - Foto Sinar Harian

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PKINK, Ab Aziz Yunus yang menyampaikan Sumbangan Tabung Solidariti Rakyat Palestin peringkat Kumpulan PKINK sebanyak RM254,500.

Ujar Mohd Nassuruddin yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PKINK, kumpulan itu juga melancarkan pelan perniagaan lima tahun seterusnya bermula 2024 hingga 2028 dengan unjuran kentungan terkumpul yang disasarkan pada tahun terakhir minumum RM175 juta.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Kumpulan PKINK juga bertanggungjawab mengembalikan sebahagian hasil keuntungan kepada negeri dalam bentuk sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi rakyat terutama usahawan untuk memajukan perniagaan selain meningkatkan peluang pekerjaan.

Mohd Nassuruddin (tengah) yang hadir ke Majlis Sanjungan Budi Sentuhan Abadi PKINK pada Ahad. - Foto Sinar Harian
Mohd Nassuruddin (tengah) yang hadir ke Majlis Sanjungan Budi Sentuhan Abadi PKINK pada Ahad. - Foto Sinar Harian

“Bentuk sumbangan termasuk tunai dan antaranya bantuan pembaikian rumah, sekolah, institusi pondok dan pembinaan asrama.

“Bagi tahun 2021 jumlah sumbangan CSR Kumpulan PKINK ialah RM14 juta, 2022 (RM11.7 juta) manakala 2023 ialah RM14.7 juta,” ujarnya.