Jeritan wanita rungkai penemuan mayat dua warga emas

Keadaan di lokasi kejadian dua warga emas maut dibunuh di Kampung Sungai Penchala, di sini, pada Sabtu.
Keadaan di lokasi kejadian dua warga emas maut dibunuh di Kampung Sungai Penchala, di sini, pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jeritan meminta tolong seorang wanita yang didengari jiran merungkaikan penemuan mayat pasangan warga emas yang mati dibunuh di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, di sini, pada Sabtu.

Menurut jiran yang enggan dikenali berkata, jeritan itu dipercayai daripada wanita yang dibunuh anak lelakinya kira-kira jam 7 malam tadi.

"Pasangan yang dibunuh itu merupakan keluarga yang dikenali ramai di sini sekali gus menimbulkan suasana sedih dalam kalangan penduduk.

“Saya dengar jeritan minta tolong kira-kira pada waktu Maghrib selepas itu terus senyap.

“Memang terkejut dengar kes bunuh macam ini, di sini tak pernah ada (pembunuhan), orang ramai memang kenal dengan mangsa sebab mereka selalu datang masjid dan orang lama di sini,” katanya.

Jiran itu mendakwa, suspek yang berusia 40-an itu merupakan bekas penagih dadah dan baru sahaja diikat jamin atas kesalahan jenayah.

Bagaimanapun, menurutnya suspek beberapa hari sebelum kejadian dilihat mesra pada keluarga kerana sering melihat membantu mengemas halaman rumah.

“Kalau waktu pagi nak pergi kerja tu memang saya akan nampak dia tolong ayahnya cuci halaman rumah, berkebun, dalam minggu ini juga saya nampak dia elok makan di kedai makan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, sepasang suami isteri itu maut dibunuh anak kandung di rumah mereka dipercayai selepas berlaku pertengkaran.

Mayat pasangan warga emas berusia 72 dan 82 tahun terbabit ditemui terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah.

Susulan kejadian itu, suspek melarikan diri di kawasan hutan berhampiran rumah mereka sebelum gerakan mencari suspek giat dilakukan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9).

Suspek berjaya ditangkap pada jam 10.30 malam di bawah terowong Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!