Seni, pertanian sumber pendapatan penduduk Kampung Segaliud

(Tengah) Khairul Firdaus melihat hasil kraftangan daripada tumbuhan nipah sempena program Seni di Lokasi:'Segaliud Artgriculture' pada Sabtu
(Tengah) Khairul Firdaus melihat hasil kraftangan daripada tumbuhan nipah sempena program Seni di Lokasi:'Segaliud Artgriculture' pada Sabtu
A
A
A

SANDAKAN - Kementerian Pelancongan,Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) telah menggabungkan seni dan pertanian sebagai sumber ekonomi masyarakat di Kampung Segaliud, Sabah.

Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerrudin Ahmad berkata, program tersebut bertujuan bagi meningkatkan pengetahuan kepada masyarakat berkenaan sumber alam yang boleh menjana pendapatan.

Menurutnya, dengan penyertaan aktif seniman tempatan dan usahawan agroteknologi mampu mendekatkan diri mereka berkaitan kelestarian alam.

“Program ini merupakan inisiatif membantu penduduk kampung dan kami melihat unsur alam sekitar dan seni dapat menjana ekonomi penduduk setempat.

“Kami bawakan penggiat seni untuk mengajar memanfaatkan alam sekitar supaya boleh menghasilkan pendapatan.

“Pelaksanaan tersebut dilihat mampu memberi ruang kepada masyarakat setempat membina kreativiti dan memanfaatkan dalam kehidupan seharian,” katanya dalam Program Seni di Lokasi:'Segaliud Artgriculture' di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, menurut Ketua Kampung tersebut, Matassan Mutahir berkata, sumber alam semula jadi seperti tumbuhan nipah dan kelapa sawit merupakan pendapatan sumber ekonomi utama penduduk kampung.

Matassan Mutahir
Matassan Mutahir

Artikel Berkaitan:

Namun, tumbuhan nipah yang terlalu banyak tidak dapat digunakan secara optimum disebabkan kekurangan kemahiran dan pengetahuan tentang produk hiliran daripada hasil alam semula jadi.

“Misalnya produk sawit yang dihasilkan menjadi jem, manakala durian merah boleh dijadika tempoyak.

“Kalau dikomersialkan produk-produk ini memang sangat menguntungkan.

“Kita akan cuba perkenalkan produk sedia ada dan setakat ini kita juga turut menjemput Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk mengkaji berkenaan penghasilan jem sawit ini,” jelasnya.

Khairul Firdaus (tengah) dalam majlis perasmian Seni di Lokasi: 'Segaliud Artgriculture' pada Sabtu.
Khairul Firdaus (tengah) dalam majlis perasmian Seni di Lokasi: 'Segaliud Artgriculture' pada Sabtu.

Sementara itu, Timbalan Menteri MOTAC, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, usaha tersebut dilihat mampu membuka peluang kepada penduduk sekitarnya menjana pendapatan.

Ulasnya, kemahiran kraftangan dan juga penghasilan makanan daripada penduduk kampung berpotensi untuk dikembangkan pada masa hadapan.

“Saya percaya Kampung Segaliud ini mempunyai kriteria sebagai kawasan ekopelancongan.

"Oleh itu, tindakan segera perlu diambil oleh semua pihak.

"Cetusan usaha ini juga sejajar dengan pembangunan negara Madani menerusi kemampanan kreativiti dan ekonomi, menyerlahkan kepelbagaian daya cipta yang berinovasi.

“Kita mahu program seperti ini diadakan lebih banyak supaya mengetahui potensi individu yang mampu membantu kerajaan negeri mahupun Malaysia,” katanya.