Pemerdagangan orang: Sembilan ditahan termasuk pelarian Rohingya di Aceh

Polis Indonesia tahan tiga rakyat tempatan yang bertindak sebagai penyelaras dan enam pelarian Rohingya yang cuba meninggalkan pusat perlindungan sementara di Blang Mangat, Aceh. - Foto AFP
Polis Indonesia tahan tiga rakyat tempatan yang bertindak sebagai penyelaras dan enam pelarian Rohingya yang cuba meninggalkan pusat perlindungan sementara di Blang Mangat, Aceh. - Foto AFP
A
A
A

JAKARTA - Polis Indonesia menahan sembilan individu di Aceh, termasuk tiga rakyat tempatan yang bertindak sebagai penyelaras dan enam pelarian Rohingya yang cuba meninggalkan pusat perlindungan sementara di Blang Mangat, Aceh.

Ketua polis daerah Lhokseumawe, Asisten Komisioner Henki Ismanto berkata, semua suspek ditahan pada Jumaat di Kampung Uteunkot, lapan kilometer (km) dari pusat perlindungan.

"Seramai enam pelarian Rohingya melarikan diri dari kem itu dengan melompat pagar di belakang pejabat imigresen lama dan merangkak melalui sawah.

"Mereka kemudiannya dibawa ke Kampung Uteunkot yang dijadikan transit sebelum menuju ke Sumatera Utara menaiki bas awam,” katanya.

Henki berkata, tiga warga tempatan itu mengaku dihubungi oleh seorang pelarian yang dikenali sebagai KH untuk membawa pelarian berkenaan.

Pihak berkuasa akan mendakwa mereka di bawah undang-undang imigresen yang boleh dijatuhi hukuman penjara minimum 15 tahun dan denda sehingga 600 juta rupiah.

Dalam operasi itu, polis turut merampas barangan, termasuk sebuah kereta, tiga telefon, dua kad pengenalan dan wang tunai 1.8 juta rupiah untuk kos pengangkutan.

Henki berkata, sekurang-kurangnya 30 pelarian Rohingya telah melarikan diri dari kem dan polis sedang giat memburu mereka.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Joko Widodo (Jokowi) menyuarakan kebimbangan dengan jenayah pemerdagangan manusia yang dikaitkan dengan peningkatan jumlah pelarian Rohingya yang memasuki Indonesia, khususnya di Aceh.

Beliau berkata, kerajaan komited untuk menangani situasi itu dengan langkah-langkah yang ketat.

Indonesia melalui Kementerian Luar juga akan terus berkoordinasi dengan organisasi antarabangsa untuk menangani isu pelarian Rohingya.

"Pemberian bantuan kemanusiaan sementara kepada pelarian akan mengutamakan kepentingan masyarakat setempat,” tegas Jokowi.

Pada Isnin, beliau mengarahkan Menteri Koordinator Bidang Politik, Hukum dan Keamanan Mahfud Md untuk menangani kebanjiran pelarian Rohingya yang mendarat di pantai Aceh sejak pertengahan November.

Dalam reaksinya terhadap kebimbangan penduduk Aceh mengenai isu itu, Mahfud berkata pihaknya telah mengenal pasti lokasi kem untuk pelarian tetapi kerajaan masih belum membuat keputusan. - Bernama