Bekas lampu gasolin bawa anak Sabah ke layar antarabangsa

Razali ketika melakukan persembahan muzik menggunakan kulintangan diperbuat daripada bekas lampu gasolin.
Razali ketika melakukan persembahan muzik menggunakan kulintangan diperbuat daripada bekas lampu gasolin.
A
A
A

KOTA KINABALU - Alternatif menggunakan bekas lampu gasolin dijadikan sebagai alat muzik tradisional kulintangan membawa seorang anak kampung ke layar antarabangsa.

Kulintangan merupakan sejenis gong kecil yang digunakan oleh kebanyakan etnik di Sabah dan mempunyai kombinasi irama mengikut pukulan pada gong tersebut.

Bagi Razali Abdul Rahim, 38, walaupun kulintangan banyak digunakan oleh pelbagai etnik tetapi beliau mahu mengetengahkan alat muzik dari sudut suku kaum Bisaya di Beaufort.

Razali sering diundang untuk membuat persembahan kulintangan di pelbagai tempat serta di hadapan orang kenamaan.
Razali sering diundang untuk membuat persembahan kulintangan di pelbagai tempat serta di hadapan orang kenamaan.

Menurutnya, keunikan yang ada pada kulintangan buatannya sendiri daripada bahan terpakai dilihat lebih efisien dan estetik.

"Sebenarnya saya hanya menyambung legasi yang sudah dibuat oleh orang terdahulu yang menginovasikan kulintangan ini.

"Tetapi bagi saya ia lebih efisien sebab ketika alat muzik ini dihasilkan, bahannya mudah didapati berbanding bahan aslinya yang menggunakan tembaga sukar diperoleh dan rumit berbanding bahan terbuang seperti bekas lampu gasolin ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Malah Razali turut berpandangan penggunaan bekas lampu gasolin sebagai kulintangan tidak kira dimainkan dengan irama tradisional atau moden dilihat lebih 'berjiwa'.

"Secara tersendirinya iramanya lebih 'berjiwa' dan lebih kepada alunan muzik etnik, ada bunyian identiti tradisionalnya sendiri selain turut dikategorikan sebagai alat muzik yang diberi nafas baharu.

"Sehingga kini ia menjadi tarikan kerana ia adalah sebuah instrument yang mampu memainkan pelbagai lagu moden dan ada juga saya pernah dengar ada orang kata bunyinya lebih kepada klasik tetapi klasik era moden," katanya.

Ditanya mengenai kecekapannya memukul kulintangan tersebut untuk menghasilkan bunyi, Razali memaklumkan terdapat 30 biji gong kecil memainkan peranan menghasilkan not masing-masing.

"Sebenarnya kegunaan semua kulintangan ini bergantung dengan lagu juga, ada lagu kurang menggunakan kesemua 30 biji kulintangan dan ada juga menggunakan keseluruhannya.

"Tetapi, biasanya saya memang mempelbagaikan lagu dan tidak tertumpu di bahagian tengah sahaja sebaliknya cuba memanfaatkan kulintangan sebelah kiri dan kanan bagi menghasilkan irama lagu tersebut dan ia dibuat dengan pantas," katanya.

Katanya lagi, menerusi kulintangan itulah yang membawanya ke persada antarabangsa sehingga dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori solo dalam pertandingan World Championships of Performing Arts di Amerika Syarikat pada 2010.

"Kulintangan bekas lampu gasolin inilah saya bawa juga untuk memasuki pertandingan di Amerika Syarikat pada tahun 2010 dan ketika itu saya masih menuntut Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

"Saya menggunakan keseluruhan set kulintangan supaya lebih nampak pergerakan tangan dalam menghasilkan irama pada gong tersebut," katanya.

Razali berkata, kini dia masih aktif menjalankan kegiatan seninya itu dan sering diundang untuk membuat persembahan kulintangan di pelbagai tempat serta di hadapan orang kenamaan.

Razali ketika melakukan persembahan muzik menggunakan kulintangan diperbuat daripada bekas lampu gasolin di pekarangan KKIA.
Razali ketika melakukan persembahan muzik menggunakan kulintangan diperbuat daripada bekas lampu gasolin di pekarangan KKIA.

"Setakat ini, saya pernah membuat persembahan di China dan Brunei selain diundang ke seluruh negara untuk membuat persembahan termasuk kunjungan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam siri Kembara Kenali Borneo di Kota Kinabalu pada September lalu," katanya.

Menurutnya, menerusi persembahan yang dilakukannya itulah memperkenalkan seni budaya bangsanya sendiri yang sebelum ini kurang dikenali.

"Usaha saya tidak terhenti setakat ini saja malah saya turut memperkenalkan muzik dari alat tradisional ini menerusi persembahan di kawasan lapang termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Jalan Gaya dan beberapa lokasi lain sekitar Kota Kinabalu.

"Kini ramai yang telah mengenali kulintangan malah tiasa siapa menyangka alat muzik ini diperbuat daripada bekal lampu gasolin," katanya.