Warga emas maut dirempuh lori di lampu isyarat

Tangkap layar rakaman kejadian dari kamera litar tertutup di kawasan kemalangan. - Sumber media sosial
Tangkap layar rakaman kejadian dari kamera litar tertutup di kawasan kemalangan. - Sumber media sosial
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggang dirempuh sebuah lori tiga tan di persimpangan lampu isyarat Jalan Tanah Merah - Gual Ipoh di sini pada Ahad.

Mangsa lelaki berusia 60 tahun dan tidak bekerja itu maut ketika menerima rawatan di Hospital Tanah Merah.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintenden Mohd Haki Hasbullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 11.20 pagi.

Keadaan motosikal mangsa selepas terlibat kemalangan. - Foto ihsan polis
Keadaan motosikal mangsa selepas terlibat kemalangan. - Foto ihsan polis

Katanya, kejadian berlaku ketika pemandu yang memandu lori jenis Isuzu tanpa muatan dari arah Tanah Merah menuju ke GuaI Ipoh.

“Apabila sampai di tempat kejadian, lampu isyarat dipercayai bertukar daripada hijau ke merah menyebabkan pemandu lori merempuh mangsa yang menunggang motosikal jenis Nitro Super Impala yang datang dari arah kiri.

“Mangsa mengalami kecederaan parah dan dibawa dengan ambulans ke hospital, namun sejam kemudian pihak hospital memaklumkan penunggang motosikal tersebut meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.

Menurut beliau, pemandu lori berusia 41 tahun berkenaan ditahan untuk siasatan dan ujian urin dijalankan ke atas lelaki tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori itu didapati negatif dadah.

“Pihak polis mohon orang ramai yang melihat kejadian ataupun mempunyai maklumat boleh salurkan kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Esmasauqi Ismail di talian 09-9556222,” katanya.

Lori yang dipandu merempuh mangsa hingga maut. - Foto ihsan polis
Lori yang dipandu merempuh mangsa hingga maut. - Foto ihsan polis

Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya mematuhi lampu isyarat dan peraturan-peraturan semasa di jalan raya.