Jom bawa anak-anak sertai HARA Rasuah Busters 2023

Pendedahan awal akan melahirkan seseorang yang berintegriti, jujur, amanah dan berpengetahuan luas terhadap bahana rasuah kepada organisasi dan diri sendiri. Gambar kecil: ZAMRI
Pendedahan awal akan melahirkan seseorang yang berintegriti, jujur, amanah dan berpengetahuan luas terhadap bahana rasuah kepada organisasi dan diri sendiri. Gambar kecil: ZAMRI
A
A
A

SHAH ALAM - Institusi pendidikan tidak kira peringkat sekolah, kolej atau universiti perlu menyahut gelombang membanteras rasuah dengan mengikuti Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) Rasuah Busters 2023.

Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, menanam rasa benci terhadap jenayah berkenaan perlu dilakukan dari usia muda.

Menurutnya, pendedahan awal akan melahirkan seseorang yang berintegriti, jujur, amanah dan berpengetahuan luas terhadap bahana rasuah kepada organisasi dan diri sendiri.

“Secara peribadi saya berharap agar banyak agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama-sama menyertai program ini sebagai tanda sokongan dan membawa gelombang antirasuah kepada masyarakat.

“Ibu bapa juga boleh mengambil kesempatan ini untuk membawa anak-anak hadir ke HARA Rasuah Busters 2023 bagi menambah ilmu pengetahuan dalam kalangan kanak-kanak supaya membenci rasuah,” katanya kepada Sinar Harian ketika pada Jumaat.

Program itu bakal diadakan pada 13 hingga 14 Disember di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 di sini, melibatkan pameran daripada rakan-rakan sinergi gabungan Rasuah Busters.

Penganjuran HARA Rasuah Busters 2023 turut membawa tiga elemen penting meliputi hak asasi, ekonomi dan sosial sebagai komponen yang akan tergugat akibat rasuah.

Mengulas lanjut, Zamri memaklumkan program berkenaan merupakan kesinambungan inisiatif daripada pasukan Rasuah Busters untuk meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia mengenai rasuah.

Artikel Berkaitan:

“Berbeza dengan program atau karnival lain, HARA adalah satu-satu acara yang memfokuskan tentang melawan rasuah.

“Hebatnya pada tahun ini, ia diadakan dengan skala yang lebih besar dan meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Dengan kerjasama rakan strategik, HARA dipadatkan dengan pelbagai pengisian termasuk pameran, deklamasi puisi, persembahan kanak-kanak daripada taman didikan kanak-kanak (tadika), lukisan doodle dan banyak lagi,” ujarnya.