Polis tahan kapal bawa 138,982 liter diesel bersubsidi

Sebanyak 138,982 liter diesel bersubsidi, pam minyak dan hos turut dirampas dan nilai keseluruhan rampasan termasuk kapal itu dianggarkan bernilai RM14.3 juta. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Hazani)
Sebanyak 138,982 liter diesel bersubsidi, pam minyak dan hos turut dirampas dan nilai keseluruhan rampasan termasuk kapal itu dianggarkan bernilai RM14.3 juta. - Gambar hiasan 123RF (Gambar kecil: Hazani)
A
A
A
KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia menahan sebuah kapal tangki yang disyaki terbabit dalam penyeludupan minyak diesel bersubsidi di Pelabuhan Klang, Selangor, Rabu lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, sebanyak 138,982 liter diesel bersubsidi, pam minyak dan hos turut dirampas dan nilai keseluruhan rampasan termasuk kapal itu dianggarkan bernilai RM14.3 juta.

Menurutnya, operasi yang dijalankan oleh Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) KDNKA itu turut menahan enam lelaki warga asing dan semakan mendapati kesemua mereka mempunyai pasport.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sementara itu, Hazani berkata, sebanyak 68 serbuan dan operasi terhadap barang kawalan dan diesel bersubsidi dijalankan dari Januari hingga hari ini dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM73.8 juta dengan 240 individu ditahan.
Artikel Berkaitan:


Beliau berkata, polis sentiasa komited untuk bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk memerangi penyelewengan barangan kawalan dan bersubsidi bagi memastikan hasil negara sentiasa dilindungi daripada ketirisan.

"Orang ramai dinasihatkan menyalurkan maklumat kepada polis supaya kegiatan jenayah dapat dibanteras sepenuhnya," katanya.