KPDN rampas 6.5 juta liter diesel subsidi bernilai RM13.69 juta

Fuziah (kiri) melancarkan harga promosi selepas merasmikan Karnival Rahmah Kasih Sayang Bangsa Johor 2023 di Stadium Bandaraya Pasir Gudang pada Sabtu.
Fuziah (kiri) melancarkan harga promosi selepas merasmikan Karnival Rahmah Kasih Sayang Bangsa Johor 2023 di Stadium Bandaraya Pasir Gudang pada Sabtu.
A
A
A

PASIR GUDANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 6.5 juta liter diesel bersubsidi bernilai RM13.69 juta dalam Ops Tiris yang dijalankan dari Mac sehingga kini.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, rampasan berkenaan melibatkan 769 kes penyelewengan diesel bersubsidi di seluruh negara dengan jumlah sitaan RM75.12 juta.

Fuziah beramah mesra dengan orang ramai pada Karnival Rahmah Kasih Sayang Bangsa Johor 2023 di Stadium Bandaraya Pasir Gudang pada Sabtu.
Fuziah beramah mesra dengan orang ramai pada Karnival Rahmah Kasih Sayang Bangsa Johor 2023 di Stadium Bandaraya Pasir Gudang pada Sabtu.

Menurutnya, sitaan melibatkan kenderaan seperti lori, tangki dan peralatan yang digunakan dalam aktiviti penyelewengan diesel subsidi.

"Aktiviti ini melibatkan pelbagai modus operandi misalnya melakukan pemindahan dari lori sebelum dibawa ke tempat lain.

"Penguat kuasa KPDN sentiasa buat intipan dan dapat maklumat berhari-hari sebelum buat tangkapan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Rahmah Kasih Sayang Bangsa Johor 2023 di Stadium Bandaraya Pasir Gudang di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo; Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd Rahman dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Fuziah berkata, bekalan gula mencukupi setakat ini selepas arahan pengeluaran kepada dua pengeluar gula di Malaysia, Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) dan MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) ditetapkan kepada keseluruhan 42,000 metrik tan sebulan.

Menurutnya, tiada laporan mengenai isu menyembunyikan bekalan gula kecuali satu laporan diterima di Melaka, baru-baru ini.

"Isu gula ini, kita ada Ops Manis yang mana kita keluarkan arahan kawalan bekalan kepada kedua-dua pengeluar gula.

"CSR akan keluarkan 18,000 metrik tan dan MSM sebanyak 24,000 metrik tan dalam tempoh sebulan," katanya.

Jelasnya, ini membolehkan KPDN memantau pada setiap hari dan kekurangan gula bukan disebabkan masalah pengeluaran tetapi isu pengedaran, namun boleh dianggap isu terpencil di tempat tertentu sahaja.

"Soal pengeluaran dan bekalan memang tiada masalah kerana kita pantau setiap hari dan kita lihat mereka (pengeluar gula) tepati arahan itu.

"Ia cukup walaupun dalam musim perayaan dengan penggunaan 2.6 kilogram bagi satu isi rumah setiap bulan," jelasnya.

Mengenai program Jualan Rahmah peringkat negeri Johor, beliau memberitahu, sudah dilaksanakan di 670 lokasi seluruh 26 kawasan Parlimen dan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tambahnya, program berkenaan sudah memberi manfaat kepada lebih 903 ketua isi rumah dengan rekod nilai jualan melebihi RM21 juta di negeri ini.