KPDN rampas 9,000 liter diesel bersubsidi di Seremban

KPDN Negeri Sembilan merampas 9,000 liter diesel bersubsidi dianggarkan bernilai RM19,350 dipercayai diseleweng dalam serbuan Op Tiris di Taman Seremban Jaya pada malam Isnin. - Gambar hiasan
KPDN Negeri Sembilan merampas 9,000 liter diesel bersubsidi dianggarkan bernilai RM19,350 dipercayai diseleweng dalam serbuan Op Tiris di Taman Seremban Jaya pada malam Isnin. - Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan merampas 9,000 liter diesel bersubsidi dianggarkan bernilai RM19,350 dipercayai diseleweng dalam serbuan Op Tiris di Taman Seremban Jaya pada malam Isnin.

Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan berkata, nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM71,150 termasuk merampas empat lori dan19 unit tong intermediate bulk containers (IBC) pada 10 malam tadi.

"Seramai 12 orang anggota terlibat, serbuan dilakukan hasil risikan dua minggu oleh pasukan serta maklumat daripada orang awam yang mencurigai kegiatan lori di kawasan berkenaan.

"Pemeriksaan menyeluruh semasa serbuan mendapati, terdapat tangki IBC yang berisi diesel di dalam kesemua lori dipercayai sedang menunggu giliran pemindahan minyak ke sebuah lori tangki yang turut berada di lokasi,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, namun pemindahan tersebut tidak dilakukan kerana pihak sindiket dipercayai dapat menghidu kehadiran anggota penguat kuasa di lokasi tersebut.

Katanya empat kertas siasatan dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat terlibat. - Bernama

Artikel Berkaitan: