Responden beri markah A 11 inisiatif ekonomi Madani - Kaji selidik UUM

Anwar ketika majlis pelancaran Ekonomi Madani pada 27 Julai lalu.
Anwar ketika majlis pelancaran Ekonomi Madani pada 27 Julai lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Responden dalam kaji selidik Inisiatif Ekonomi Madani: Penerimaan Rakyat memberi markah A kepada 11 daripada 30 inisiatif yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak setahun menerajui Kerajaan Perpaduan.

Kajian daripada lapan ahli akademik diketuai Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Fo'ad Sakdan itu dijalankan selama 34 hari dari 1 November hingga 4 Disember lalu secara dalam talian menggunakan aplikasi WhatsApp dan Telegram, panggilan telefon serta temu bual bersemuka.

Seramai 4,606 responden dipilih dengan menggunakan teknik persampelan rawak berstrata daripada sejumlah 21,473,409 pengundi berdaftar yang diwartakan pada 3 Oktober 2023 merangkumi pelbagai kaum, jantina dan peringkat umur di kesemua 222 Parlimen di 13 negeri serta tiga Wilayah Persekutuan.

Responden telah ditanya mengenai tahap penerimaannya ke atas 30 Inisiatif Ekonomi Madani dan secara keseluruhan, responden memberikan markah A, iaitu sebanyak 82 peratus.

“Dapat dirumuskan daripada dapatan kaji selidik ini bahawa aspek inisiatif ekonomi Madani yang paling mendapat sokongan ialah usaha Kerajaan Perpaduan membantu golongan memerlukan, khususnya golongan miskin.

“Satu lagi aspek inisiatif ekonomi Madani yang paling mendapat sokongan ialah usaha Kerajaan Perpaduan memerangi rasuah,” kata kumpulan penyelidik tersebut dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Secara spesifiknya, 11 inisiatif mendapat markah A (90 hingga 100) manakala 13 diberi A (80 hingga 89 ) dan dua A- (75 hingga 79) serta satu masing-masing C- (45 hingga 49), D (40 hingga 44), D (35 hingga 39) dan F (0 hingga 34).

11 inisiatif terbabit ialah memotong 20 peratus gaji pokok menteri (96 markah); mendorong Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menyumbang RM60 juta kepada pesawah miskin (96 markah); memperkenalkan rang undang-undang (RUU) kewangan awam dan tanggungjawab fiskal (94 markah) serta RUU perolehan kerajaan (94 markah).

Artikel Berkaitan:

Inisiatif lain, memberi tambahan RM600 kepada isi rumah penerima sumbangan tunai rahmah (STR) termiskin (93 markah); melaksanakan reformasi institusi dan tata kelola baik bagi menghapus amalan rasuah (93 markah) serta menoktahkan miskin tegar (93 markah).

Selain itu, inisiatif menyegerakan projek prasarana rakyat (92 markah); memperkenalkan konsep Payung Rahmah (92 markah); menyalurkan sumbangan tunai kepada seramai 8.7 juta B40 (92 markah) dan memperkenalkan skim perubatan Madani (91 markah).

Ujar kumpulan penyelidik itu, dapatan tersebut sekali gus menidakkan dakwaan sesetengah pihak bahawa dasar ekonomi Madani tiada hala tuju jelas, gagal membantu golongan memerlukan, memerangi rasuah dan menjana pertumbuhan ekonomi.

“Pada masa sama, perhatian perlu diberikan kepada dapatan kaji selidik ini, menunjukkan bahawa masih ramai responden belum dapat menerima sepenuhnya program subsidi bersasar yang sudah atau mahu diperkenalkan.

“Selain itu, responden juga menunjukkan penerimaan rendah ke atas inisiatif melaksanakan beberapa langkah reformasi percukaian bagi meluaskan asas hasil negara.

“Termasuk menaikkan kadar Cukai Perkhidmatan kepada lapan peratus, tetapi tidak memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST),” kata mereka.

Bagaimanapun, markah 82 peratus (A) untuk 30 inisiatif berkenaan adalah satu permulaan baik oleh sebuah Kerajaan Perpaduan yang baru terbentuk setahun lalu.