Kaji selidik dapati pentadbiran PH diterima baik - Ilham Centre

Pengguna jalanraya melalui deretan bendera Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas yang dipasang bagi menghangatkan lagi bahang siri kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) berhampiran bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ampangan. - Foto Bernama
Pengguna jalanraya melalui deretan bendera Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas yang dipasang bagi menghangatkan lagi bahang siri kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) berhampiran bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ampangan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir tiga negeri terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu ini, secara keseluruhannya mendahului dan lebih baik berbanding negeri-negeri ditadbir Pas-Perikatan Nasional (PN).

Ia sekali gus memberikan gambaran bahawa pentadbiran menteri besar atau ketua menteri di negeri PH diterima baik menerusi dasar yang telah dilaksanakan sepenggal lepas.

Hal itu antara dapatan kajian dijalankan firma penyelidikan bebas Ilham Centre bertajuk ‘Tahap Penerimaan Rakyat Terhadap Kerajaan Perpaduan Dan Dasar Malaysia Madani: Tumpuan Di Enam Negeri Menjelang Pilihan Raya Umum Negeri Ke-15.’

"Pulau Pinang menerima kadar kepuasan hati yang tinggi dalam kalangan penduduk negeri tersebut. Pengurusan melibatkan soal kebajikan, ekonomi, bekalan air bersih, pengurusan tanah dan perihal tadbir urus am mendapat 78 peratus dan ke atas kadar penerimaan rakyat,” menurut kajian itu.

Sebagai perbandingan, responden di Kelantan pula sekadar memberikan peratusan tidak lebih 60 peratus dalam soal yang melibatkan tanggungjawab kerajaan Negeri.

"Semua sedia maklum, isu bekalan air bersih, pengurusan sisa pepejal, isu berkaitan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) menerima rungutan yang tinggi oleh responden semasa kajian ini dilakukan,” menurut dapatan berkenaan.

Kajian itu juga menunjukkan populariti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan dan dasar Malaysia MADANI dalam kalangan pengundi bukan Melayu berada pada tahap yang tinggi dan konsisten di kesemua enam negeri yang terlibat dalam PRN kali ini.

Kajian juga mendapati kaji selidik lapangan memperlihatkan populariti Perdana Menteri atau PMX (merujuk kepada perdana menteri ke-10), kerajaan dan dasar Malaysia MADANI berada pada tahap yang tinggi bagi negeri-negeri ditadbir PH.

Artikel Berkaitan:

Responden dalam kajian ini juga mengesahkan PH-BN boleh bergantung pada kekuatan pengaruh PMX, kerana 37 peratus mengakui mereka boleh menyokong PH-BN atas faktor tersebut, terutama di negeri di bawah PH.

"Menariknya, di negeri kubu kuat pembangkang iaitu Kelantan, lebih ramai (52 peratus) yang menjawab tidak pasti berbanding terus menolak kemungkinan mengundi PH-BN (43 peratus). Terengganu sedikit berbeza dengan 40 peratus tidak pasti berbanding 45 peratus terus menjawab tidak.

"Hal ini menunjukkan bahawa dengan pengaruh peribadi PMX sendiri membuka ruang kepada pengundi Melayu rasional, walaupun di negeri pembangkang, untuk menganjak ke garis tengah.

"Responden bagi segmen ini menyatakan mereka terbuka untuk melihat secara objektif usaha yang akan dilakukan oleh perdana menteri untuk memulihkan negara,” menurut kajian itu.

Pensampelan dilakukan berdasarkan populasi mengikut enam negeri yang dikaji iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dengan sejumlah 2,416 responden terlibat dalam kaji selidik yang berlangsung 11-27 Julai lepas.

Sebanyak 102 responden pula terlibat dalam temu bual mendalam dan perbincangan kumpulan fokus yang meliputi kumpulan anak muda, pemimpin tempatan dan wanita. - Bernama

Ikuti maklumat terkini Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri di sini!