Suami isteri mengaku lakukan amang seksual terhadap gadis 15 tahun

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KLANG - Sepasang suami isteri mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 15 tahun, bulan lepas.

Khairul Hizwan Kamarudin, 32, dan Norehan Abu Kasim, 35, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Noridah Adam.

Bagi pertuduhan pertama, Khairul Hizwan yang bekerja kampung dan isterinya yang tidak bekerja melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan cara memegang anggota badannya mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh juga disebat.

Mereka juga didakwa bersama-sama melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu menyebabkan mangsa memerhati perbuatan kedua-dua tertuduh yang bersifat seksual mengikut Seksyen 15(d) AKSTK 2017 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya.

Khairul Hizwan turut mengaku menyimpan beberapa video lucah di dalam telefon bimbitnya dan dia didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pasangan itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di sebuah rumah di Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat pada 12 November dan 1 Disember lepas.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya Suriantiazila Muhamad memohon mahkamah supaya tidak membenarkan sebarang jaminan atas alasan mangsa dan keluarganya menetap di kawasan perumahan yang sama manakala kedua-dua tertuduh, yang tidak diwakili peguam, hanya tunduk dan tidak membuat sebarang rayuan.

Noridah tidak membenarkan pasangan itu diikat jamin dan menetapkan 5 Januari tahun depan untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman.

Artikel Berkaitan:

Di mahkamah sama, seorang warga emas Maskuri Suharto, 71, mengaku tidak bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun ketika dalam perjalanan ke sebuah stesen minyak di Bandar Bukit Tinggi di sini pada jam 10.30 malam 1 Disember lepas.

Suriantiazila tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan keluarga mangsa merupakan kenalan rapat tertuduh sejak 25 tahun lepas namun Maskuri, yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan ikat jamin yang rendah atas alasan tidak bekerja, sudah berusia dan tinggal berseorangan.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 5 Januari depan untuk sebutan semula kes. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!