[VIDEO] Enam lelaki didakwa rogol, amang seksual budak 11 tahun

A
A
A

KUALA KANGSAR - Empat lelaki termasuk tiga beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar pada Isnin atas pertuduhan melakukan rogol terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun, bulan lalu.

Tertuduh berusia 23 tahun bersama adiknya berusia 17 dan 14 tahun serta rakan mereka berusia 16 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat tertuduh didakwa melakukan rogol berkumpulan ke atas mangsa yang berusia 11 tahun dua bulan dalam bilik sebuah rumah di Kampung Pahat Luar, Gerik pada waktu petang awal November lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding sama, dua lagi abang mereka berusia 31 dan 25 tahun mengaku salah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas kanak-kanak sama.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan itu dengan cara memegang payudara mangsa ketika kejadian di lokasi dan waktu sama.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Lima beradik dan seorang rakan dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar.
Lima beradik dan seorang rakan dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin kepada setiap tertuduh berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa selain melapor diri di balai polis terdekat sekali pada setiap bulan.

Pada prosiding itu, keenam-enam tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan Muhammad Firdaus dan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000.

Kes ditetapkan pada 22 Januari 2024 bagi mendapatkan laporan psikiatri mangsa, lantikan peguam dan hukuman.

Enam lelaki termasuk lima beradik dituduh melakukan rogol berkumpulan dan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar.
Enam lelaki termasuk lima beradik dituduh melakukan rogol berkumpulan dan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan tujuh lelaki termasuk enam adik-beradik ditahan polis selepas disyaki terlibat kejadian rogol bergilir-gilir seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Gerik.

Tangkapan terhadap suspek berusia 13 hingga 31 tahun dibuat selepas menerima laporan yang dibuat ibu mangsa sekitar jam 9.26 malam pada 20 November lalu.

Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 3 November lalu sekitar jam 2 petang turut disaksikan oleh adik mangsa berusia sembilan tahun.