710 kes kanak-kanak hilang sejak Januari hingga November

Analisa dan kajian kes daripada statistik, PDRM mendapati kehilangan kanak- kanak adalah berpunca dari enam kategori. Foto hiasan 123RF, gambar kecil: Siti Kamsiah
Analisa dan kajian kes daripada statistik, PDRM mendapati kehilangan kanak- kanak adalah berpunca dari enam kategori. Foto hiasan 123RF, gambar kecil: Siti Kamsiah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 710 kes kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dilaporkan hilang bermula Januari sehingga November tahun ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 634 orang telah dijumpai semula dengan kadar peratusan sebanyak 89.3 peratus.

Beliau berkata, sejumlah 76 orang kanak-kanak yang hilang itu masih belum ditemui sehingga kini.

"Analisa dan kajian kes daripada statistik, PDRM mendapati kehilangan kanak- kanak adalah berpunca dari enam kategori.

"Pertamanya lari dari rumah dan faktor utama kanak-kanak atau remaja dilaporkan melakukan perbuatan itu disebabkan ingin bebas daripada kongkongan keluarga atau penjaga.

"Lari dari rumah adalah punca yang paling banyak iaitu menyumbang seramai 82.26 peratus daripada keseluruhan kes," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Siti Kamsiah berkata, selain keinginan mencari kebebasan, punca yang menyumbang kepada gejala lari dari rumah adalah ketidakharmonian dalam keluarga.

Tambahnya, tindakan lari dari rumah adalah bertujuan mengikut kawan atau kekasih, salah faham dengan ahli keluarga, mencari pekerjaan pada usia yang muda, kurang perhatian keluarga serta tidak minat belajar.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, kehilangan kanak-kanak disebabkan faktor kemalangan adalah sebanyak 0.83 peratus.

Menurut beliau, kejadian terlibat dalam kemalangan atau bencana seperti kejadian tanah runtuh, lemas di sungai, sesat di hutan, hilang di dalam kebun dan dibaham buaya.

Jelasnya, kategori kehilangan tersebut menyumbang seramai 2.16 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Bagi kategori menjadi mangsa jenayah, Siti Kamsiah berkata, jumlah yang dicatatkan sekitar 0.04 peratus.

Menurutnya, kanak-kanak yang terlibat dalam kes jenayah ekoran jadi mangsa balas dendam dan kemarahan daripada individu tidak bertanggungjawab terhadap ibu bapa mangsa.

Jelasnya, kumpulan kanak-kanak yang diculik itu dipercayai telah didera dan dibunuh oleh suspek.

Tegas beliau, walaupun penyumbang statistik kepada kategori tersebut paling sedikit, namun kes melibatkan kanak-kanak menjadi mangsa jenayah adalah sangat serius dan sentiasa diberikan fokus yang sangat tinggi oleh PDRM.

Selain itu katanya, kanak-kanak di bawah umur yang dilarikan oleh penjaga pula sebanyak 1.39 peratus.

Jelas beliau, tindakan dilarikan oleh ibu atau bapa atau penjaga berpunca daripada konflik dalam isu penjagaan anak.

Tambahnya, ia juga melibatkan hak tuntutan hak penjagaan anak yang mana salah satu pihak disyaki melarikan kanak-kanak tersebut.

Berhubung perkara itu menurutnya, isu tersebut termasuk dalam kes melibatkan penjaga yang sah dan tidak sah.

"Bagi kes hilang yang tidak diketahui punca adalah sebanyak 4.15 peratus.

"Sebagai contoh kes di Sarawak, seorang ibu bangun dari tidur mendapati anaknya yang berusia 6 tahun didapati telah tiada.

"Si ibu mengesyaki anaknya terjatuh dalam sungai kerana tempat tinggal adalah rumah atas air.

"Tiada kesan pencerobohan dan tiada tuntutan tebusan dibuat oleh mana-mana pihak. Malah tiada saksi mata yang boleh mengesahkan kejadian," ujarnya.