Dua lelaki ditahan bersama lebih satu tan daun ketum

Lebih satu tan daun ketum dirampas dalam operasi di KM 80 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur masuk ke hentian RnR Gurun, pada Khamis.
Lebih satu tan daun ketum dirampas dalam operasi di KM 80 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur masuk ke hentian RnR Gurun, pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Dua lelaki ditahan bersama 1,190 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM23,800 di KM 80 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur masuk ke hentian rehat dan rawat (RnR) Gurun, di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan Risikan Batalion 1 Kompeni D Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Kayu Hitam dalam operasi pada jam 9.30 malam.

Beliau berkata, dua lelaki tempatan yang ditahan merupakan rakan kenalan dengan masing-masing berusia 35 tahun dan 38 tahun.

"Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek berusia 38 tahun tidak mempunyai sebarang rekod lampau, manakala suspek berusia 35 tahun mempunyai satu rekod lampau di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

"Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek terlibat dalam aktiviti pengedaran daun ketum sejak Disember tahun ini dan berperanan sebagai 'runner' dengan menerima upah RM1,000 setiap seorang untuk menghantar bekalan daun ketum dari kawasan Padang Terap ke kawasan barat Semenanjung Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pengedaran daun ketum ini didalangi lelaki tempatan dan daun ketum yang dirampas dipercayai untuk diedarkan ke kawasan setempat Barat Semenanjung Malaysia.

Bagaimanapun, kata Zaidy, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas kedua dua suspek didapati negatif.

Tambah beliau, dalam operasi terbabit, pihaknya turut merampas 170 bakul plastik yang mengandungi bungkusan-bungkusan plastik jernih yang setiap satu mengandungi daun-daun hijau disyaki daun ketum yang dianggarkan bernilai RM23,800.

Artikel Berkaitan:

Kata Zaidy, sebuah lori jenis Isuzu dianggarkan bernilai RM85,000 turut dirampas dalam operasi terbabit.

Beliau berkata, kesemua daun-daun ketum yang dirampas dikhuatiri boleh digunakan sehingga 30,000 orang penyalahgunaan air ketum.

Sehubungan itu, tambah Zaidy, kedua-dua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama empat hari bermula 8 Disember sehingga 11 Disember 2023 untuk siasatan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.