Kerajaan Selangor sedia bantu keluarga Allahyarham Zayn Rayyan

Kerajaan negeri sedia membantu keluarga kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang dilaporkan hilang sebelum ditemukan meninggal dunia dipercayai dibunuh. (Gambar kecil: Amirudin)
Kerajaan negeri sedia membantu keluarga kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang dilaporkan hilang sebelum ditemukan meninggal dunia dipercayai dibunuh. (Gambar kecil: Amirudin)
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri sedia membantu keluarga kanak-kanak lelaki autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang dilaporkan hilang sebelum ditemukan meninggal dunia dipercayai dibunuh.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari bagaimanapun berkata, kerajaan negeri perlu menunggu laporan siasatan polis selesai sebelum dapat menyalurkan bantuan yang sewajarnya.

"Sudah pasti kerajaan negeri akan memberi sokongan padu kepada keluarga terutama dari segi moral, psikologi ketika mereka berdepan suasana getir dan sukar

"Pada ketika ini biar polis selesaikan tugas sebelum kita datang untuk melihat situasi (bagi) membantu kepada mereka yang memerlukan terutama kepada keluarga terbabit.

"Biar polis selesaikan tugas dahulu, apabila sudah masuk kepada kes jenayah, ini agak serius dan kita tidak boleh ganggu prosedur dan siasatan yang dijalankan," katanya ketika ditemui pada Jumaat.

Menteri Besar ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Penjenamaan Identiti Korporat Kumpulan Hartanah Selangor Berhad di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini.

Amirudin diiringi Haris (kiri) dan Rahana (kanan) sebelum merasmikan logo baharu Kumpulan Hartanah Selangor Berhad di Pusat Konvensyen Shah Alam.
Amirudin diiringi Haris (kiri) dan Rahana (kanan) sebelum merasmikan logo baharu Kumpulan Hartanah Selangor Berhad di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Hartanah Selangor Berhad, Rahana Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, mangsa berumur enam tahun itu ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya di tengah hari pada Selasa lalu sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya pada malam Rabu.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.