Jangan sampai eMadani RM100 lesap ditipu

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

HATI-hati, anda mungkin ‘diintai’ scammer yang terliur dengan pemberian RM100 eMadani daripada kerajaan.

Nilainya mungkin tidak mewah, tetapi jika sebilangan kecil daripada 10 juta rakyat Malaysia berusia 21 tahun ke atas, yang layak untuk mendapat manfaat e-kredit ini lalai, ia akan memberi keuntungan lumayan kepada penjenayah.

Kita perlu menanam sikap mengesyaki terhadap sesiapa sahaja yang tidak dikenali terutama ketika ditawarkan sesuatu perkara yang tidak masuk akal.

Jangan mudah tertarik dengan umpan scammer melibatkan keuntungan yang banyak dalam masa yang singkat.

Waspada juga dengan sebarang tawaran perkhidmatan penebusan tunai daripada pihak tidak bertanggungjawab di platform media sosial.

Hal ini bagi mengelakkan penerima manfaat eMadani daripada menjadi mangsa sekali gus menyebabkan kehilangan kredit simpanan masing-masing.

Nasihat sama dibuat Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dengan menyatakan orang ramai jangan mudah terpedaya dengan helah penipuan yang menawarkan khidmat penebusan tunai.

Sebelum ini, seorang pengguna laman sosial Facebook dikesan menawarkan khidmat penukaran kredit kepada bayaran tunai.

Artikel Berkaitan:

Individu itu menawarkan khidmat berkenaan dengan hanya orang ramai menghubunginya menerusi aplikasi WhatsApp.

Sekiranya ia benar-benar berlaku, Kementerian Kewangan telah memberi peringatan, mereka tidak akan bertanggungjawab terhadap kes itu.

Hakikatnya, penipuan merupakan jenayah yang serius malah pesalah berdepan hukuman antaranya mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara Seksyen 417 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, penerima eMadani juga perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan agar tidak berdepan tindakan undang-undang.

Isnin lalu, kerajaan menyatakan, tindakan tegas akan diambil termasuk menyekat akaun terlibat dan melucut hak kredit penerima bantuan tersebut

jika didapati melakukan kesalahan antaranya membuat pemindahan ‘peer-to-peer’, penebusan tunai, membayar bil utiliti atau pascabayar telekomunikasi.

Selain itu, penerima juga tidak boleh menggunakan bantuan itu untuk membuat bayaran berkaitan kerajaan terintegrasi dengan aplikasi e-dompet, membeli aplikasi permainan, melunaskan bayaran tempat letak kereta atau tol, melabur dan melakukan transaksi e-dagang.

Ini kerana eMadani dibuat bagi menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai.

Pada yang belum menuntut eMadani, manfaatkan bantuan itu sebaik mungkin, dengan menuntutnya di aplikasi perbankan MAE, khidmat e-dompet ShopeePay, Touch ‘n Go eWallet dan Setel sebelum 20 Februari tahun depan.

Ia bukanlah bantuan secara automatik sebaliknya penerima perlu membuat pendaftaran terlebih dahulu.

Ini merupakan inisiatif kerajaan, dengan peruntukan sebanyak RM1 bilion, demi rakyat berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) iaitu yang menerima gaji tahunan di bawah RM100,000.

Ia adalah berdasarkan rekod Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) pada 15 Julai lalu.

Malangnya, aliran trafik yang tinggi menyebabkan beberapa aplikasi khidmat kewangan itu ‘lumpuh’ gara-gara diserbu orang ramai pada hari pertama ia boleh dituntut iaitu pada Isnin lalu.

Orang ramai mula mengambil peluang ini untuk merebut inisiatif yang diberi kerajaan di samping mengejar tawaran tambahan dalam bentuk baucar, pulangan tunai, diskaun, mata ganjaran dan coins ditawarkan aplikasi terbabit.

Program eMadani yang diperkenal untuk memperkasakan rakyat bagi meningkatkan penggunaan transaksi tanpa tunai, sedikit sebanyak meringankan beban kewangan dalam pembelian seperti makanan dan perkhidmatan.

* Noor Azlida Alimin adalah Wartawan Meja Jenayah dan Mahkamah