Rakyat manfaat pemberian RM100 eMadani, beli barangan keperluan

Kredit e-tunai eMADANI sebanyak RM100 yang dituntut pengguna melalui penyedia perkhidmatan e-dompet terpilih iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet. - Foto Bernama
Kredit e-tunai eMADANI sebanyak RM100 yang dituntut pengguna melalui penyedia perkhidmatan e-dompet terpilih iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch ‘n Go eWallet. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rata-rata rakyat yang permohonan mereka untuk memperolehi e-tunai RM100 menerusi eMadani diluluskan, melahirkan rasa syukur dan lega, dan mereka mula memanfaatkan bantuan berkenaan untuk pelbagai tujuan.

Dengan tujuh juta permohonan diterima dalam tempoh sehari ketika ia mula dibuka semalam, mereka yang layak boleh menebus eMadani untuk sebarang transaksi secara fizikal di 1.8 juta peruncit atau perniagaan melalui e-dompet pilihan atau kod QR DuitNow iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan Touch 'n Go eWallet.

Di PERLIS, seorang pekerja kedai makan di Kangar Nur Fatin Syamimi Hasmadi, 21, berkata, beliau menyemak status permohonannya itu pada pukul 8 pagi tadi dan mendapati telah menerima RM100.

"Saya rasa seronok dan teruja bila tengok duit dah masuk RM100 ini, semasa mohon ini, sejak awal lagi saya memang rancang nak guna untuk membeli makanan kalau dapat, bila periksa hari ini, Alhamdulillah,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Di SELANGOR, bagi peniaga ayam goreng di Tapak Penjaja Seksyen 7, Shah Alam Juhaizie Juhar, 32, pemberian e-tunai tersebut, turut memberi kesan langsung kepada peniaga kecil sepertinya kerana sudah tentu penerima akan berbelanja.

Kredit RM100 eMADANI itu boleh digunakan untuk sebarang transaksi secara fizikal di 1.8 juta peruncit atau perniagaan melalui e-dompet pilihan atau kod QR DuitNow.
Kredit RM100 eMADANI itu boleh digunakan untuk sebarang transaksi secara fizikal di 1.8 juta peruncit atau perniagaan melalui e-dompet pilihan atau kod QR DuitNow.

Beliau yang telah berniaga selama lapan tahun di situ berkata, beliau sendiri sudah menebusnya dan digunakan untuk mengisi petrol kenderaannya.

Pekerja swasta, Afiq Razali, berkata, kejayaan dalam pelaksanaan program eMadani yang menyalurkan e-tunai RM100 kepada rakyat yang layak melalui aplikasi penyedia perkhidmatan e-dompet pilihan pengguna, wajar diperluas untuk program bantuan kewangan kerajaan yang lain.

Artikel Berkaitan:

"Syarikat-syarikat e-tunai ini juga secara tidak langsung lebih kompetitif dalam memberikan tawaran untuk menarik orang ramai menggunakan aplikasi mereka dan ini juga menjadi kelebihan kepada pengguna untuk memilih mana-mana aplikasi,” katanya.

Di TERENGGANU, seorang pekerja sebuah pasar raya di Kuala Nerus Mahani Muda, 25, berkata orang ramai mula menggunakan eMadani untuk membuat pembayaran hari ini, dengan kebanyakan pelanggan membeli barangan keperluan asas seperti beras, telur, minyak dan gula.

Peniaga kedai makan Azizah Awang, 48, pula berkata kerajaan perlu memperluaskan penggunaan eMadani ke kedai makan kecil, bagi menjana ekonomi peniaga kecil, kerana mereka antara golongan paling terkesan dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil dan harga barangan yang semakin naik.

Di MELAKA, Penolong Pengurus Restoran Serambi Emak Alif Anaqi Ahmad Zaim, 19, berkata penggunaan pembayaran dalam talian menggunakan QR Code amat meluas ketika ini, di mana lebih 50 peratus pelanggan kedai makan itu menggunakan perkhidmatan terbabit, ketika membuat bayaran.

Beliau berkata inisiatif kerajaan memberi bantuan menerusi pindahan kredit ke dalam e-dompet, dijangka membantu peniaga mendapatkan lebih ramai pelanggan yang menggunakan kaedah sama, ketika membuat pembayaran. - Bernama.