'Aunty guard viral' gementar bakal jejak kaki ke Istana Negara

Yogeswary, 44, tersenarai sebagai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 19 Dis nanti. - Foto IG @viralperak
Yogeswary, 44, tersenarai sebagai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 19 Dis nanti. - Foto IG @viralperak
A
A
A

IPOH - "Saya gementar kerana tidak menyangka sama sekali menerima surat daripada pihak istana," itu luahan R Yogeswary iaitu pengawal keselamatan wanita yang bertugas di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini yang sering membantu pesakit dan pelawat di kawasan parkir hospital itu sehingga tular dalam media sosial.

Yogeswary, 44, tersenarai sebagai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 19 Disember nanti.

Ibu tunggal kepada dua cahaya mata perempuan itu meluahkan rasa terharu dan gembira kerana khidmatnya sebagai pengawal keselamatan sejak lebih lima tahun lepas di hospital berkenaan dipandang oleh masyarakat termasuk pihak istana.

"Ini pertama kali saya akan menjejakkan kaki ke istana, saya memang kelu. Sebelum ini, saya hanya menonton (istiadat) di kaca televisyen, sekarang saya pula yang dapat.

"Sebenarnya khidmat saya yang bertugas di sini sebagai pengawal keselamatan tidaklah seberapa kalau hendak dibandingkan dengan orang lain. Namun, saya tidak sangka ramai yang 'melihat' kerja saya di sini,” katanya kepada Bernama.

Meluahkan rasa penghargaan, Yogeswary mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan hospital dan syarikat kawalan keselamatan yang memberi peluang kepadanya bertugas di hospital itu.

Anak bongsu daripada lima beradik yang berasal dari Gerik itu berkata, kakak akan menemaninya ke ibu negara dan dijangka bertolak beberapa hari sebelum istiadat pengurniaan berlangsung.

Yogeswary yang sebelum ini bertugas mengawal keselamatan di Kompleks Wanita, Kanak-Kanak dan Kardiologi hospital itu telah ditugaskan di Kompleks Rawatan Harian sejak enam bulan lepas.

Artikel Berkaitan:

"Pihak atasan hospital yang menukarkan kawasan bertugas di Kompleks Rawatan Harian yang kebanyakan pesakit terdiri daripada warga emas dan orang kurang upaya (OKU), dan mereka memerlukan pertolongan apabila datang ke sini," katanya.

Yogeswary sebelum ini tular apabila sering membantu pesakit atau pelawat hospital sehingga meraih perhatian daripada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa yang memuji tindakan wanita itu dengan memberi penghargaan menerusi satu hantaran dalam Facebook menteri berkenaan.

Antara bantuan yang dihulurkannya ialah mengangkat barang, mengawal lalu lintas di parkir, menenangkan pesakit cemas dan mengucapkan tahniah kepada ibu yang baru bersalin. - Bernama